ISI KANDUNGAN

PENGENALAN KEPADA JATIDIRI MELAYU MUSLIM. 1
5.1.1 Pengertian. 1
5.1.2. Melayu dari sudut perlembagaan. 2
5.1.3. Islam dalam Perlembagaan Malaysia. 2
5.1.4. Sejarah asal usul masyarakat Melayu. 3
5.1.5. Kebudayaan Melayu Silam.. 4
5.1.6 Kebudayaan Melayu Selepas Kedatangan Islam.. 4
5.1.7. Kebudayaan Melayu kini 5
Rujukan: 7
ASAS-ASAS JATIDIRI DAN CARA PEMBINAANNYA.. 7
Pendahuluan. 7
1.1 Pengetahuan Yang Mencukupi dan Kefahaman Yang Tepat. 7
1.2 Pembahagian Ilmu: 10
1.3. Pengetahuan dan Kefahaman Asas Jatidiri. 11
1.4. Ke Arah Penguasaan ilmu dan Kefahaman Yang Tepat. 15
2. Keimanan Yang Tinggi. 16
2.1. Pengertian Iman. 16
2.2. Asas-Asas Keimanan. 19
2.3. Takwa dan Hubungannya Dengan Iman. 23
2.4. Iman dan Takwa Asas Jatidiri. 24
2.5. Cara Pembinaan Iman dan Taqwa. 27
3.Keiltizaman Dengan Islam. 29
3.1. Maksud Keiltizaman Dengan Islam: 29
3.2. Iltizam Dengan Islam sebagai Asas Jatidiri. 31


BAB 3

PENGENALAN KEPADA JATIDIRI MELAYU MUSLIM.


5.1.1 Pengertian

Jatidiri ertinya diri yang tulin, diri yang murni, - Kamus Dewan, 1994:520 - . Dari segi istilah ialah sikap atau perangai murni yang telah sebati dengan diri seseorang sama ada berbentuk luaran atau dalaman.

Melayu ertinya nama suatu bangsa dan bahasa - terutama di Semenanjung Malaysia - : Maksud Melayu ertinya mengikut cara hidup orang Melayu atau masuk Islam - Kamus Dewan, 1994:874 - . Melayu ialah orang yang beragama Islam dan mengamalkan kebudayaan Melayu-Islam. - Siddiq Fadil, 1993:4 -

Melayu ertinya seorang yang menganut agama Islam, lazimnya bercakap Bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu dan lahir atau berdomisil di Persekutuan atau Singapura - Ahmad Ibrahim, 1995:23 - .

Hamka pula mentakrifkan Melayu sebagai setiap orang yang berbahasa Melayu, berfikir, merasa, menangis dan ketawa, tidur dan bangun dalam bahasa Melayu.

Melayu dan Islam tidak dapat dipisahkan. Bangsa Melayu wujud dan berkembang atas landasan Islam. Mereka yang menolak Islam akan tersisih dari masyarakat Melayu.

Pembinaan Melayu Baru tidak harus diertikan sebgai transformasi total hingga mencabut umat Melayu dari akar agama dan budaya tradisinya.

5.1.2. Melayu dari sudut perlembagaan

Dalam bahagian II, Ceraian 12 - 3 - ada menyebut: seseorang itu tidak akan dipaksa mendapat pengajaran dalam agama atau ikut serta dalam sesuatu upacara perlaksanaan ajaran sesuatu agama lain daripada agamanya sendiri.
Sebagai agama suci, Islam tidak menggalakkan penganutnya memaksa orang lain memasuki Islam dengan kekerasan sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud, ‘Tidak ada paksaan dalam Islam’

Dalam bahagian IV, Ceraian 34 - 1 - ada menyebut Yang di-Pertuan Agong tidak akan menjalankan tugas Sultan dari negeri-negeri bahagian melainkan tugas-tugas selaku ketua dari agama Islam.

Secara keseluruhannya undang-undang Islam belum lagi dilaksanakan sepenuhnya di Malaysia, akan tetapi kita boleh berusaha memastikan bahawa undang-undang Islam itu dapat dilaksanakan dengan baik dan adil. - Ahmad Ibrahim, 1995:26 -

5.1.3. Islam dalam Perlembagaan Malaysia

Perlembagaan Persekutuan sebenarnya telah mendaulatkan Islam dalam “ayat”: “Islam adalah agama bagi Persekutuan”, tersebut dalam Part 1 di bahagian 3 - 1 - : “Islam is the religion of the Federation.” Ia merupakan satu “hikmah” kekuatan tertinggi atau “attribution of supremacy”. Justeru itu, sekaigus syahadah membatalkan undang-undang dan hukuman buatan manusia. Selama ini kita cuai, tidak berusaha secara undang-undang kesedaran sosial-politik. Mungkin bagi mereka yang “tidak peduli” itu merasakan diri dan kepimpinannya tercabar apabila Islam ditegakkan.

Ahmad Ibrahim - 1995:22 - menyebut tentang bukti kedudukan istimewa Islam terdapat dalam Perlembagaan Malaysia iaitu Perkara 11 mengenai kebebasan beragama. Fasal - 1 - memperuntukkan:”Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada fasal - 4 - mengembangkan agamanya.” Fasal - 4 - memperuntukkan: “Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-wilyah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, Undang-undang Persektuan, boleh mengawal dan menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang yang menganuti agama Islam.”

Perkara 12 Fasal - 2 - pula memperuntukkan bahawa : “Adalah sah bagi Persekutuan dan sesuatu negeri menubuhkan atau menyelenggarakan institusi-institusi Islam dan mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajran Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan yang diperlukan bagi maksud itu.”

Semenjak negara Malaysia mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah dikuatkuasakan dan banyak mendasarkan kepada bentuk-bentuk pemerintah yang bercorak Islam - Abdul Rahman Nawas, 1995:241 -

Selain daripada itu dalam bahagian I, Ceraian 3 - 2 - telah menyebut : Sultan-sultan adalah ketua agama di negeri masing-masing tetapi Melaka dan Pulau Pinang adalah di bawah Yang di-Pertuan Agong.

Dalam bahagian II, Creaian 12 - 2 - menegaskan pula : Tiap-tiap perkumpulan agama berhak mempunyai hak mewujud dan memelihara lembaga-lembaga untuk mendidik anak-anak dan menganjurkan pengajaran agamanya sendiri. Tetapi Islam dilindungi oleh undang-undang Persekutuan.

5.1.4. Sejarah asal usul masyarakat Melayu

Masyarakat Melayu terdiri daripada suatu sistem ‘kerajaan’ iaitu sistem yang mengandungi kedudukan golongan raja, pembesar dan rakyat. Keseluruah daripada semua ini tergembleng di dalam suatu sistem kemasyarakatan…. - Ismail Hussein, 1989:421 -

Masyarakat melayu dibentuk oleh sekelompok manusia yang digolongkan secara luas sebagai kumpulan orang-orang Melayu dan bertempat di suatu wilayah di Asia Tenggara yang dikenali dengan pelbagai nama seperti Gugusan Kepulauan Melayu-Indonesia - Malay-Indonesian Achipelago - , Nusantara, Alam Melayu, Tanah Jasi dan sebagainya.

5.1.5. Kebudayaan Melayu Silam

Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Melayu beragama Hindu dan Buddha. Sementara sistem kepercayaan pribumi ialah animisme yang mempercayai bahawa setiap benda ada jiwa, roh atau semangat yang mempunyai perwatakan sendiri yang dapat membawa kesan baik atau buruk.

Dalam sistem feudal Melayu-Hindu yang mengamalkan konsep devaraja, wujud budaya mendewakan raja kerana memang raja dianggap sebagai jelmaan dewa. Oleh itu cerita tentang raja, rata-rata diselubungi pelbagai mitos jelmaan sakti dan kedewaan seperti konon ada raja yang berasal dari telur emas yang turun dari keinderaan. - Siddiq Fadil, 1993:8 -

5.1.6 Kebudayaan Melayu Selepas Kedatangan Islam

Islam tersebar ke alam Melayu disebabkan oleh peranan golongan pedagang, pendakwah dan golongan bangsawan yang berpengaruh. Selain daripada keistimewaan ajaran agama Islam sendiri yang mudah difahami, rasional, logikal, adil dan menekankan kepada kehalusan budi bahasa.

Kedatangan Islam, raja-dewa telah di manusiakan. Islam dan revolusi budayanya telah membawa perubahan ideologikal yang cukup mendasar alam ketatanegaraan Melayu. - Siddiq Fadil, 1993:9 -

Kedatangan Islam telah membawa perubahan besar kepada pemikiran rakyat. Dalam sejarah kesultanan Melayu-Islam, contohnya Raja Ali Haji merupakan ilmuwan penyuara nurani umat yang terbuka mindanya menegur sikap bermewah-mewah Sultan Mahmud Riau-Lingga abad ke 19. Beliau menegur Sultan yang tidak memperdulikan nasib rakyat. Membina istana mewah gaya Eropah di Lingga. Suka menghabiskan waktu berfoya-foya di kota Singapura. - Siddiq Fadil, 1993:31 - . Ini adlah hasil kesedaran bahawa kemungkaran patut dibendung supaya tidak bertambah parah.

Sifat pemikiran masyarakat Melayu kebanyakan datang dari alam fikiran Islam dan bukan dari alam Melayu spenuhnya. Namun sifat sejagat Islam yang mahu disarankan di sini kita terima sebagai yang wajar dan jitu bagi pembentukan masyarakat Melayu. Dengan kata lain tradisi pemikiran sosio-politik Melayu adalah sebahagian daripada alam Islam sehingga Islam merupakan suatu weltanschaung yang seragam bagi semua umatnya. - Ismail Hussein, 1989:429 -

5.1.7. Kebudayaan Melayu kini

Umat Melayu telah memanifestasikan jiwa merdekanya dalam pelbagai peristiwa terutama dalam kebangkitan-kebangkitan anti penjajahan sejak abad keenam belas ketika mereka berhadapan dengan ancaman penjajahan Portugis. - Siddiq Fadil, 1992:11 -

Dari sudut pendidikan pada akhir abad ke 19 atau awal abad ke 20 lahirlah pendidikan agama bercorak madrasah dengan tertubuhnya Madrasah al-Iqbal di Singapura pada tahun 1908 diikuti oleh pembukaan madrasah di Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah dan sebagainya. Sistem pendidikan madrasah ini mempunyai sukatan pelajaran berasaskan kelas seperti kelas ibtidaie, thanawi dan takhasus. Di madrasah ada mudir. Pentadbir sekolah pula diawasi oleh satu lembaga jawatankuasa kewangan dan sebagainya. Kedudukan madrasah bertambah kuat apabila wujud Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu di setiap negeri di Malaysia. Kelantan adalah negeri pertama yang menubuhkan Majlis Agama Islam pada tahun 1911. Kini di Malaysia mempunyai Univesiti Islam Antarabangsa Malaysia yang dikunjungi oleh pelajar dari dalam dan luar negeri. - Abdul Rahman al Ahmadi, 2000:507 -

Dari segi undang-undang terdapat dua jenis undang-undang Islam yang pernah diamalkan di Malysia iatu undang-undang Melayu-Islam, yang juga dikenali sebagai Undang-Undang Melayu Lama dan Undang-Undang Eropah-Islam. Hanya undang-undang jenis pertama sahaja secara langsung berasaskan kepada teks yang digubal atau ditulis secara bersendirian dan berasingan. Sementara undang-undang Eropah-Islam jelas tidak mempunyai banyak ciri-ciri keislaman tulen yang diterapkan pada undang-undang Islam temapatan dengan mewujudkan beberapa banyak ordinan dan enakmen pentadibran undang-undang Islam. - Abdullah Alwi, 2000:158 - . Umat Islam di Malaysia menaruh harapan besar supaya usaha terbaru untuk menggubal teks undang-undang Islam baru dilaksanakan.

Dari segi ekonomi Kesultanan Melayu dan Islam merupakan pusat yang mengawal perdagangan khususnya perdagangan Asia. Sebelum pertengahan abad ke 19, kesultanan melayu yang utama di semenanjung bertempat di bahagian pantai timurnya yang menghadap laut China Selatan. Kekuatan kerajaan ini diperoleh daripada perdagangan. - Shaharil Talib, 2000:200 - . Kini di Malaysia tertubuhnya institusi ekonomi Islam seperti Takaful, Tabung Haji dan Bank Islam.

Dari segi teknologi masyarakat melayu telah mencapai teknologi tinggi dalam teknologi pertukangan, teknologi perang, pembuatan keris, alat pertanian, alat menangkap ikan, pembinaan rumah, masjid, kota Melayu dan sebagainya. - Wan Ramli, 2000:255 -


Rujukan:

Abdullah Alwi Hassan - 2000 - . “Pertumbuhan Pentadiran Undang-Undang Islam di Malaysia” Tamadun Islam di Malaysia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdul Rahman al Ahmadi - 2000 - . “Pendidikan Islam di Malayisa : Pembinaan Intelek Agama”. Tamadun Islam di Malaysia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abd Rahman Nawas, dll. - 1995 - . Tamadun Islam. Kuala Lumpur : Pustaka Haji Abdul Majid.

ASAS-ASAS JATIDIRI DAN CARA PEMBINAANNYA

Pendahuluan

Sebatang pokok yang menjadi sumber kebajikan kepada makhluk, samaada dari kalangan manusia atau pun binatang, ia tumbuh melalui benih yang baik, kemudian bertukar menjadi akar tunjang yang kuat. Itulah asas penting bagi tumbuhnya sepohon pokok. Demikianlah perbandingan seorang insan yang berkualiti, punyai jatidiri, dihiasi dengan akhlak yang tinggi, akan lahir dalam realiti apabila adanya asas-asas yang sejati.

Tajuk ini akan menjelaskan tetang asas jatidiri bagi seorang insan yang sejati yang menjadi idaman setiap diri. Berikut adalah asas-asasnya serta cara pembinaannya berdasarkan sumber-sumber yang berkualiti iaitu al Quran dan Hadith Nabi serta huraian dan penjelasan daripada ulamak sejati.

1.1 Pengetahuan Yang Mencukupi dan Kefahaman Yang Tepat.

1.2. Maksud pengetahuan yang mencukupi dan kefahaman yang tepat:
Pengetahuan yang mencakupi bermaksud memiliki ilmu yang diperlukan untuk membolehkan seseorang mengetahui sesuatu yang perlu dalam kehidupannya seperti ilmu tentang al Quran dan Sunnah Rasulullah yang boleh membawa dirinya mengenali Allah sebagai Rabb dan akan menjadikan Allah sebagai Ilahnya. Rasulullah s.a.w. bersabda:

"خيركم من تعلم القرآن و علمه"

Maksudnya : “Orang yang paling baik antara kamu ialah mereka yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain”.

Antara ilmu yang perlu untuk melayakkan seseorang memiliki pengetahuan yang luas ialah bahasa Arab. Dengan menguasai bahasa Arab seseoorang itu dapat memahami al Quran dan al Sunnah dengan baik dan lebih menepati maksudnya yang sebenar. Ia dapat merujuk kitab-kitab dan lebih menepati maksudnya yang sebenar. Ia dapat merujuk kitab-kitab tafsir muktabar yang hampir kesemuanya dalam bahasa Arab. Selain dari itu bahasa Arab juga adalah bahasa yang digunakan dalam ibadah-salat yang merupakan tiang agama. Sembahyang tidak boleh dilakukan dalam bahasa selain dari bahasa Arab. Bagaimana seorang yang ingin menjadi manusia yang berkualiti, punya jatidiri, kalau salatnya pun tidak berkualiti, sedangkan salat adalah salah satu amalan atau tarbiah yang paling berkesan untuk membentuk insan yang berakhlak dan berkualiti.

Ilmu-ilmu lain yang perlu dikuasai ialah seperti Ulum al Quran, Ulum al Hadith, Sirah Rasulullah, Sejarah Islam, Ilmu Fiqh yang berkaitan dengan hukum hakam dalam Islam, bahasa asing seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Tamil - dalam konteks Malaysia - dan seumpamanya. Selain itu ilmu-ilmu lain dalam pelbagai bidang seperti Teknologi Maklumat, Sains, Matematik, Kejuruteraan dan seumpamanya.

Dengan ilmu yang mencukupi diharapkan dapat memandu seseorang memahami Islam sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. berdasarkan sumber yang betul iaitu al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Dengan itu diharapkan mereka tidak keliru berhadapan dengan pelbagai ideologi dan aliran pemikiran yang wujud.

Kefahaman yang tepat ialah kefahaman yang menepati apa yang terkandung dalam al Quran dan Sunnah, seperti apa yang difahami oleh Rasulullah s.a.w., bukan kefahaman salah dan keliru yang dibawa oleh musuh-musuh Islam atau pun yang diasaskan atas kejahilan manusia itu sendiri.

Ilmu dan kefahaman adalah pemberian Allah s.w.t. Allah berfirman dalam al Quran:

فَفَهَّمْنَاهَا سُلَيْمَانَ وَكُلًّا آتَيْنَا حُكْمًا وَعِلْمًا

“Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu; dan masing-masing - dari mereka berdua - Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu - yang banyak - ; dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan Nabi Daud; dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu. - Al-Anbiya’ : 79 - .

Mustafa Mashur ketika menjelaskan asas-asas yang perlu ada pada seorang muslim contoh, antara lain beliau mengatakan:

“Ia hendaklah memahami ilmu agama serta berusaha untuk menambahnya dan memahami masalah-masalah yang berlaku di kalangan orang Islam serta sentiasa menyebarkan pengetahuan dan kepakarannya. Ia hendaklah memantapkan bidang pengkhususannya…”

Petikan di atas antara lain menjelaskan bahawa seorang muslim contoh perlu kepada ilmu Agama yang mendalam serta sentiasa mempertingkatkannya. Ia juga perlu memahami realiti yang berlaku dalam masyarakat, khususnya umat Islam. Seorang muslim contoh juga perlu mempertingkatkan bidang kepakaran masing-masing serta memberi khidmat kepada masyarakat.

Tanpa asas ilmu yang mencukupi, manusia tidak mampu menjalani kehidupan sebagai seorang muslim yang sebenarnya. Ini bererti kehidupannya jauh dari ciri-ciri manusia yang berkualiti dan mempunyai jatidiri seperti yang diharapkan.

1.2 Pembahagian Ilmu:

Sebilangan besar ulamak Islam membahagikan ilmu kepada dua, iaitu Fardu Ain dan Fardu Kifayah. Antara ulamak Islam yang mewakili pembahagian ini ialah Imam al Ghazali.

Ilmu Fadhu Ain ialah ilmu-ilmu asas yang perlu dipelajari dan difahami oleh setiap muslim. Antaranya termasuklah al Quran, al Sunnah, Sirah Rasul, Ilmu Akidah, Bahasa Arab, memahami konsep Islam, ilmu berkaitan hukum hakam dalam Islam, memahami konsep jahiliah dan seumpamanya yang dikira sebagai pengetahuan dan kefahaman asas yang perlu ada pada setiap muslim.

Ilmu Fardhu Kifayah pula ialah ilmu-ilmu bidang pengkhususan yang menjadi keperluan untuk maslahah masyarakat Islam dan kerajaan Islam seperti ilmu kejuruteraan, perubatan, perakaunan, matematik dan seumpamanya. Ia perlu dipelajari oleh sebilangan dari kalangan orang Islam untuk kepentingan masyarakat Islam seluruhnya.

Sering berlaku keliruan di kalangan umat Islam tentang konsep ilmu fardhu Ain. Mereka beranggapan bahawa ilmu fardhu ain hanya yang menyentuh beberapa perkara sahaja dalah fiqh seperti berkenaan dengan mempelajari cara-cara mengambil wuduk, salat, haid dan nifas serta hal-hal seperi itu sahaja. Adapun memahami konsep Islam, memahami kandungan al Quran dan al Sunnah, tidak dirasakan sebagai ilmu fardu Ain. Fahaman seperti ini adalah bertentangan dengan konsep Islam yang sebenar yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Akibatnya amat buruk sekali iaitu menyebabkan orang Islam tidak mahu mempelajari Islam kerana dirasakan telah mencukupi lantaran sudah pandai mengambil wuduk dan telah menghafal surah al Ikhlas untuk di baca dalam solat. Inilah antara wajah layu yang pernah menimpa umat Islam. Tidak hairanlah kalau mereka menjadi umat yang mundur dalam segala aspek akibat tidak memiliki ilmu yang mencukupi dan kefahaman yang tepat.

Ada sebilangan yang lain pula mempelajari ilmu fardu kifayah sampai ke peringkat yang tinggi, tetapi jahil murakkab dalam ilmu-ilmu asas Islam. Akibatnya mereka ini menimbulkan masalah bagi masyarakat apabila di kalangan mereka yang ada memegang jawatan penting dalam negara. Mereka akan bercakap berasaskan kejahilan dan pemikiran yang diambil dari musuh-musuh Islam. Seterusnya lahirlah tindakan dan sistem yang bertentangan dengan Agama Islam.

1.3. Pengetahuan dan Kefahaman Asas Jatidiri.

i. Wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah berkaitan dengan perintah supaya Nabi Muhammad s.a.w. membaca, dengan firmannya:

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ - 1 - خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ - 2 - اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ - 3 - الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ - 4 -
عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ - 5 -

“Bacalah - wahai Muhammad - dengan nama Tuhanmu yang menciptakan - sekalian makhluk - , Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”. - Al-Alaq : 1-5 - .

Antara perkara yang dapat difahami dan dirumuskan dari ayat di atas ialah:

a. Membaca adalah antara perintah Allah yang pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang menunjukkan betapa pentingnya membaca untuk mengetahui dan memahami sesuatu.

b. Perkara pertama yang perlu diketahui manusia ialah mengenali Allah s.w.t. sebagai Rabb al-Alamin. Allah sebagai punca dan sumber bagi segala makhluk yang wujud.

c. Allah sebagai sumber ilmu. Allah mengajar Adam dan manusia seluruhnya sesuatu yang mereka tidak ketahui. Untuk memperolehi ilmu, manusia memerlukan peralatan yang sesuai atau wasilah tertentu. Allah menyebut dalam ayat di atas ialah qalam. Hari ini manusia menggunakan peralatan tertentu seperti komputer, multimedia, internet, video dan seumpamanya.

d. Ayat di atas menunjukkan pentingnya ilmu pengetahuan sebagai asas yang perlu dimiliki oleh manusia untuk melaksanakan tugas mereka sebagai Khalifah di bumi.

ii. Tidak sama orang yang berilmu dengan mereka yang jahil. Antara lain Allah berfirman:

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

"Katakanlah lagi - kepadanya - : "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" - Az-Zumar : 9 - .
Ayat di atas jelas menunjukkkan bahawa tidak sama mereka yang berilmu dengan golongan yang jahil. Untuk menjadi seorang muslim sejati, tidak mungkin untuk memperolehinya tanpa ilmu dan kefahaman.

Orang yang berilmu mempunyai pandangan dan kefahaman yang tepat:

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُوْلُوا الْعِلْمِ

“Allah menerangkan - kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti - , bahawasanya tiada Tuhan - yang berhak disembah - melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan - seluruh alam - dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu - mengakui dan menegaskan juga yang demikian - ; tiada Tuhan - yang berhak disembah - melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. - Ali-Imran : 18 - .

Ayat di atas antara lain menunjukkan bahawa orang yang berilmu dapat memahami dan mengenali Allah s.w.t. dengan kefahaman yang betul dan seterusnya mempersaksikan bahawa tidak ada Tuhan selain Allah. Di sini menunjukkan bahawa mereka yang jahil terdedah kepada kekeliruan dan tidak dapat mengenali Allah. Sedangkan mengenal Allah adalah perkara yang paling utama dan pertama. Sesiapa yang tidak mengenali Allah, dialah orang-orang yang benar-benar jahil walaupun mempunyai ijazah yang tinggi.

Seorang penyair telah berkata:
“Si jahil itu telahpun mati walaupun ajal belum menjemputnya.
Tubuhnya itulah kuburnya meskipun ia belum dikebumikan.”
iii. Orang yang baik dan berkualiti adalah mereka yang dipilih oleh Allah. Pilihan Allah ini dikurniakan dengan asas ilmu dan kefahaman. Rasulullah s.a.w. bersabda:

"من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين"

“Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan padanya, ia akan diberi kefahaman tentang agama”. Hadith di atas antara lain bermaksud bahwa kefahaman tentang Agama adalah antara perkara asas dan syarat untuk seseorang yang ingin menjadi muslim yang baik dan diiktiraf oleh Allah s.w.t.

iv. Rasulullah s.a.w. adalah contoh manusia terbaik. Baginda memilki segala kualiti diri yang diperlukan bagi menjadi insan mithali. Antara asas penting yang dianugerahkan Allah kepadanya ialah wahyu yang mengandungi segala macam ilmu pengetahuan serta kefahaman.

Rasulullah s.a.w. mendidik para sahabat. Mereka diberi ilmu pengetahuan dan membentuk akhlak yang tinggi. Antara sahabat Rasulullah yang terkenal dengan kefahaman yang tinggi dan tepat ialah Umar al Khattab. Rasulullah pernah bermimpi bahawa baginda dibawa segelas susu lalu baginda meminumnya dan mengalir tumpahan susu tersebut sehingga mengalir melalui celah-celah jari baginda, kemudian baginda memberi tumpahan itu kepada Umar al-Khattab. Sahabat bertanya, “Apakah tafsir mimpi tersebut?” Baginda menjawab : “Itulah ilmu.”

Hadith di atas menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. adalah manusia yang sangat banyak ilmunya yang dikurnikan oleh Allah dan dari limpahan ilmu baginda, ia dapati dirasai oleh para sahabat. Dalam konteks hadith di atas disebut Umar al Khattab, Umar sendiri merupakan seorang yang tinggi kefahaman agamanya, bijak dan adil dalam pemerintahannya. Beliau berkata:

تفقهوا قبل ان تسودوا

“Hendaklah memahami dahulu sebelum kamu memimpin”.
v. Ilmu adalah syarat pertama yang menjadi lebih utama didahulukan sebelum amal. Al-Qaradhawi meletakkan satu tajuk ‘Keutamaan Ilmu Bagi Sesuatu Amalan’. Dalam bukunya Fi Fiqh al Awlawiyat. Di dalam tajuk ini dijelaskan keutamaan ilmu sebelum melakukan sesuatu. Beliau juga membawa kata-kata Umar Abd Aziz : “Sesiapa melakukan sesuatu perkara tanpa ilmu, ia lebih banyak membawa kerosakan dari kebaikan”

Berasaskan kepada apa yang telah dikemukakan, jelas menunjukkan bahawa ilmu dan kefahaman adalah asas dan syarat penting bagi kehidupan insan yang berkualiti dan sebagai muslim hakiki.

1.4. Ke Arah Penguasaan ilmu dan Kefahaman Yang Tepat.

Ilmu dan kefahaman adalah pemberian Allah s.w.t. kepada sesiapa yang di kehendaki. Allah kurniakan ilmu kepada seseorang melalui sebab-sebab tertentu seperti belajar bersungguh-sungguh, melalui kuliah-kuliah, pembacaan buku-buku, melalui kajian-kajian dan sebagainya. Ringkasnya, ilmu yang diberikan oleh Allah kepada seseorang adalah disebabkan oleh usaha dan faktor-faktor tertentu. Justeru itu manusia perlu menyusun strategi dan pelan tindakan untuk mencapai objektif tersebut. Antara langkah yang perlu dilakukan ialah:

i. Menyedari bahawa menuntut ilmu adalah wajib. Tanpa ilmu seseorang itu tidak mungkin boleh menjadi muslim dalam erti kata yang sebenarnya.

ii. Berusaha mencari guru yang mampu memberi pengajaran dan kefahaman serta pendidikan yang sebenar berdasarkan model Rasuulullah bersama dengan para sahabat sebagai generasi contoh.

iii. Membuat perancangan strategik dalam pembelajaran dan pendidikan.

iv. Mencari kawan-kawan yang baik dan pintar serta mewujudkan suasana pembelajaran dan tarbawi.

v. Memilih dan membaca buku-buku yang sesuai dengan merujuk kepada penulis-penulis yang muktabar.

vi. Memperbetulkan diri dengan Islam melalui mujahadah al Nafs dan mujahadah al Syaitan.

vii. Meninggalkan dosa dan sentiasa melaksanakan yang wajib seperti salat berjemaah dan seterusnya iltizam dengan Islam.

viii. Mencari pelbagai wasilah / cara dan teknik pembelajaran dan pendidikan untuk mencapai objektif.

ix. Mempelajari dan menguasai bahasa Arab - Bahasa Islam - dan Bahasa Inggeris - Bahasa Teknologi masa kni - sebagai alat penting seorang muslim.

x. Menjadikan al Quran dan al Sunnah sebagai sumber utama.

xi. Sentiasa berdoa.

xii. Bertawakkal kepada Allah.

2. Keimanan Yang Tinggi.

2.1. Pengertian Iman

Rasulullah s.a.w. apabila ditanya oleh Malaikat Jibril tetang pengertian Iman, baginda menjawab: “Iman ialah engkau beriman dengan Allah, para malaikat, kitab-kitab Allah, beriman akan bertemu dengan Allah, para rasul, hari kebangkitan dan beriman dengan qadar sepenuhnya.”

Ibnu Mas’ud berkata: “Yakin itu adalah keseluruhannya.” Omar Abd Aziz pernah menulis surat kepada Adiy bin Adiy, katanya: “Sesungguhnya iman itu mempunyai beberapa kewajipan, batas-batas dan cara-caranya. Sesiapa yang dapat memenuhinya maka sempurnalah imannya. Sesiapa yang tidak memenuhinya, tidak sempurnalah imannya.”

Menurut Dr. Yusof al Qaradhawi : “Iman adalah kepercayaan yang meresap ke dalam hati, dengan penuh keyakinan, tidak bercampur syak dan ragu-ragu, serta memberi pengaruh sehari-hari….. justeri itu iman bukanlah semata-mata ucapan lidah, bukan sekadar perbuatan dan juga bukan hanya merupakan pengetahuan tentang rukun-rukun iman.”

Berdasarkan kepada beberapa pengertian di atas dapatlah dirumuskan bahawa iman adalah satu keyakinan terhadap perkara-perkara pokok dalam agama iaitu bermula dengan keimanan kepada Allah, Malaikatnya, kitabNya, para RasulNya, Hari Akhirat dan beriman dengan konsep takdir, seterusnya keimanan ini mestilah dibuktikan dengan ucapan dan perbuatan.

Dalam al Quran terdapat banyak ayat-ayat Allah yang menjelaskan tentang ciri-ciri keimanan dan orang mukmin yang sebenar. Antaranya:

وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُوْلَئِكَ هُمْ الصَّادِقُونَ

“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka - terus percaya dengan - tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar - pengakuan imannya - ”.    - Al-Hujurat : 15 - .

Ayat di atas antara lain menunjukkan bahawa iman yang sebenar ialah keyakinan yang tidak bercampur dengan keraguan. Iman seperti ini akan lahir buktinya dalam bentuk tindakan selaras dengan apa yang diyakini.

Al-Qaradhawi dalam menghuraikan hakikat iman yang sebenar, merumuskan seperti berikut:

I. Iman bukan sekadar pengakuan lidah semata-mata, sedangkan hatinya menolak. Orang-orang munafiq, mereka mengaku beriman, tetapi hakikat sebenarnya tidak.

II. Iman bukan semata-mata melakukan perbuatan atau amalan dan syiar yang biasa dilaksanakan oleh orang-orang yang beriman sedangkan di dalam hatinya kosong dari rasa kebaikan dan keihklasan.

III. Iman bukan semata-mata mengetahui erti dan hakikat iman, kerana ramai dari kalangan manusia yang mengetahui tetapi menolak.

IV. Iman memerlukan kefahaman dan keyakinan yang teguh tanpa ada keraguan.

V. Iman melahirkan kepatuhan dan ketundukan dengan rela hati tanpa rasa berat hati serta menerima apa yang diputuskan oleh Allah dan Rasul dan mereka tidak akan memilih yang lain selain dari apa yang diputuskan oleh Allah dan rasul.

VI. Iman melahirkan semangat kerja dan berkorban.

VII. Iman melahirkan akhlak yang tinggi dengan hati yang khusyuk dan kehidupan yang teratur serta sentiasa melakukan amal yang berguna.

2.2. Asas-Asas Keimanan.

Para ulamak merumuskan, bahawa iman mempunyai enam asas, mereka juga menamakannya sebagai rukun-rukun iman iaitu:

i. Beriman kepada Allah. Ia merupakan perkara yang pertama dan paling penting. Antara perkara yang perlu dalam konsep beriman kepada Allah ialah:
a. Menyakini tentang kewujudan Allah.
b. Ma’rifatullah - mengenali Allah - .
c. Faham dan yakin dengan wahyu Allah.
d. Mengesakan Allah dari segi Rububiyah - Tauhid Rububiyah - dan UluhiyahNya - Tauhid Uluhiyah - dan melaksanakan tuntutan kedua-duanya dalam semua aspek kehidupan.

ii. Beriman tentang adanya para malaikat Allah. Konsepnya ialah di mana Allah mempunyai para malaikat yang berfungsi sebagai kakitangan Allah yang memegang berbagai-bagai jawatan dengan tugas-tugas tertentu. Ada yang bertugas sebagai pembawa wahyu kepada Rasul, seperti Jibril Alaihissalam, ada yang menajaga Arasy, mengambil nyawa, menjaga pintu langit, menjaga Syurga, Neraka dan seumpamanya. Malaikat dijadikan dari nur, ia boleh berupa dengan pelbagai bentuk, seperti cahaya, manusia dan sebagainya.

iii. Beriman dengan kitab-kitab Allah. Setiap muslim mesti mengetahui dan yakin bahawa Allah telah menurunkan kitab-kitabnya kepada para Nabi dan Rasul. Nama-nama yang biasa disebut seperti suhuf, kitab dan sebagainya. Kitab-kitab ini adalah merupakan wahyu Allah yang disampaikan kepada Rasul untuk disebarkan kepada umatnya sebagai panduan dalam kehidupan mereka. Contoh kitab-kitab tersebut seperti Suhuf yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim, Zabur kepada Nabi Daud, Taurat kepada Musa, Injil kepada kepada Isa dan Al Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w.. Di dalam al Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menceritakan berkaitan dengan kitab, antaranya:

كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمْ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاس
ِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ

“Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu - menurut ugama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan - , maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira - kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran - kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka - ; dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang - mengandungi keterangan-keterangan yang - benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan” - Al-Baqarah : 213 - .

iv. Beriman dengan para Rasul. Setiap muslim mesti mengetahui dan yakin bahawa Allah s.w.t. telah mengutuskan bagi setiap umat, Rasul untuk menyeru manusia ,menyembah Allah - dengan mengikut cara hidup Islam - dan menjauhi serta meninggalkan taghut. Allah berfirman:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنْ اُعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul - dengan memerintahkannya menyeru mereka - : "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". - An-Nahl : 36 - .

* - Taghut : sesuatu yang biasanya mempunyai kuasa samada manusia atau jin yang mengajak manusia ke arah selain Allah. -

v. Beriman dengan Hari Akhirat. Setiap muslim mesti mengetahui dan yakin bahawa selepas kehidupan dunia akan terdapat satu lagi kehidupan, iaitu akhirat. Manusia akan dibangkitkan semula selepas kematian mereka. Mati adalah perpindahan dari alam dunia ke alam akhirat. Selepas seseorang mati, ruhnya akan dibawa naik bertemu dengan Allah melalui pintu langit pertama sehinggalah melepasi langit ke tujuh. Roh yang baik diterima oleh Allah dan diperintah untuk dicatat dalam buku sebagai ahli syurga. Selepas itu roh tersebut diperintah dibawa ke dalam kubur sehinggalah hari kebangkitan di mana ia akan dibangkitkan. Adapun bagi orang kafir dan jahat, ruh mereka tidak diterima oleh Allah Taala. Malaikat yang menjaga pintu langit enggan membuka pintu langit.

Sesi-sesi di Akhirat adalah seperti berikut:
a. Alam kubur
b. Hari kebangkitan. - Yawm al Ba’th -
c. Hari manusia dihimpunkan. - Yawm al Hasyr -
d. Hari pembentangan amalan - Yawm al Arad -
e. Hari perhitungan/timbang amalan - Yawm al Hisab / Yawm al Mizan -
f. Hari pembalasan - Yawm al Jaza’ -

Demikianlah susunan dari a-f adalah tertib perjalanan di akhirat. Walaupun dalam perkataannya disebut hari, namun ia bukan bermakna satu hari, tetapi lebih tepat kepada maksud satu tempoh yang panjang.

vi. Beriman dengan qadar daripada Allah. Orang mukmin mereka sepatutnya mengetahui, memahami dan meyakini konsep takdir Allah. Allah takdirkan manusia ada yang lelaki, ada yang perempuan, ada yang berbangsa Melayu, Arab, Cina dan sebagainya. Allah takdirkan dari kalangan manusia ada yang cacat, ada yang panjang umur dan ada yang pendek dan demikianlah takdir Allah s.w.t. Dia Maha Mengetahui sesuatu yang manusia tidak tahu. Allah Maha Adil dan Maha Suci dari sifat-sifat yang tidak layak bagiNya. Justeru itu bagi orang mukmin mereka seharusnya menerima takdir Allah sama ada baik atau buruk. Mungkin sesuatu yang buruk pada pandangan manusia, mempunyai hikmah tertentu disisi Allah dan demikianlah sebaliknya. Dalam al Quran terdapat banyak ayat-ayat yang berkaitan dengan qadar Allah, antara lain:

وَكُلُّ شَيْءٍ عِنْدَهُ بِمِقْدَارٍ - 8 -

“Dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisiNya dengan kadar yang tertentu.” - Ar-Ra’d : 8 - .

Cara-cara Berhadapan Dengan Takdir Allah:
a. Redha dengan takdir Allah sama ada baik atau buruk. Sesungguhnya Allah Maha Adil dan Maha Mengetahui.
b. Bersyukur seandainya menerima takdir baik.
c. Bersabar sekiranya ditakdirkan dengan sesuatu yang tidak baik - pada pandangan kita - . Mungkin terdapat hikmah tertentu di sebaliknya.
d. Sentiasa berusaha dan berwaspada. Berusaha dan berwaspada adalah cara hidup Islam dan ia merupakan ibadah.
e. Sentiasa berdoa.
f. Bertawakkal.

Enam asas keimanan di atas sangatlah penting bagi seseorang. Tanpanya manusia tidak dikatakan beriman. Tidak sah iman seseorang itu seandainya ia menolak salah satu daripada asas-asas tersebut.

Dari satu sudut yang lain, penolakan kepada salah satu rukun iman ini bererti menolak sabahagian dari kandungan al Quran dan al Sunnah, kerana perkara ini dijelaskan oleh Allah samada dalam al Quran atau pun dalam al Sunnah.

2.3. Takwa dan Hubungannya Dengan Iman.

Takwa ialah satu kualiti iman yang tinggi yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t. kepada sesiapa yang layak. Ramai di kalangan orang Islam memiliki keimanan, tetapi tidak sampai ke peringkat takwa. Iman seperti ini sering kali terdedah dan jatuh ke lembah dosa dan penyelewengan. Seseorang Islam boleh berusaha untuk mecapai darjat ketaqwaan. Allah s.w.t. mengemukakan panduan bagaimana cara untuk mencapai darjat taqwa. Antara firman Allah:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمْ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ - 183 -

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”. - al-Baqarah : 183 - .

Ayat di atas adalah salah satu contoh panduan dan arahan agar orang-orang yang beriman mempertingkatkan iman mereka sehingga ke tahap taqwa. Dalam konteks ayat ini ibadah puasa apabila dilakukan dengan sempurna ia akan meningkatkan iman dan boleh sampai ke darjat takwa. Di sana juga terdapat banyak amalan dan bentuk ibadah lain yang kalau dilakukan dengan sempurna ia boleh mempertingkatkan Iman seseorang. Demikian juga melalui meninggalkan dosa atau perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t. ringkasnya kepatuhan kepada Allah samada meninggalkan laranganNya atau melaksanakan tuntutanNya, boleh membawa ke arah takwa.

Ibn Omar telah berkata: “Seseorang itu tidak akan mencapai hakikat taqwa sehingga ia meninggalkan rasa bersalah yang terbayang dalam hatinya.”

Imam Habib Abdullah Haddad, menyebut bahawa para ulamak berkata: “Takwa itu adalah menurut perintah Allah Ta’ala dan meninggalkan laranganNya lahir dan batin serta merasai akan kebesaran dan keagongan Allah, dan takut kepadaNya.”

2.4. Iman dan Takwa Asas Jatidiri.

i. Tidak ada khilaf di kalangan ulamak Islam bahawa iman dan takwa adalah asas penting bagi kehidupan seorang insan. Tanpa iman dan takwa tidak akan wujud sahsiah Islamiah yang sebenarnya.

ii. Ayat-ayat al Quran di peringkat awal penurunannya - ayat Makkiyyah - memberi penumpuan sepenuhnya kepada persoalan Iman. Ini adalah untuk membina asas yang kuat kepada generasi contoh, iaitu Rasulullah dan para sahabat baginda. Syed Qutb memberi gelaran kepada mereka sebagai “Generasi al Quran yang Unggul” dan mereka merupakan generasi yang terbaik dalam sejarah dunia.

iii. Segala perbuatan dan tindakan manusia adalah berpunca dari hati. Hati merupakan tempat bertapaknya iman. Sekiranya hati penuh dengan kesyirikan dan kekotoran akan lahir amalan, percakapan dan tindakan yang jahat sesuai dengan apa yang tersembunyi di dalam hati. Demikianlah sebaliknya, jika hati bersih dan dipenuhi dengan cahaya keimanan dan ketakwaan, akan terkeluar ucapan dan tindakan yang selaras dengan tuntutan keimanan dan sifat ketaqwaan yang ada pada dirinya.

iv. Iman melahirkan ketenangan dan lapang dada. Ketengan dan lapang dada adalah unsur penting bagi kehidupan seseorang. Allah berfirman:

هُوَ الَّذِي أَنْزَلَ السَّكِينَةَ فِي قُلُوبِ الْمُؤْمِنِينَ

“Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman”. - Al-Fath : 4 - .

Antara ciri utama dalam keimanan ialah hubungan hati dengan Allah. Orang mukmin sentiasa mengingati Allah s.w.t. Justeru itu mereka sentiasa merasa tenang, lapang dan kuat tetapi sebaliknya orang yang lemah iman sentiasa lupa kepada Allah yang menyebabkan kehidupan mereka menjadi sempit dan sukar.

وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا

"Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit”. - Taha : 124 - .

v. Iman dan takwa melahirkan insan yang sanggup berjuang menegakkan kebenaran dan keadilan. Lihat sahaja bagaimana Rasulullah dan para sahabat sanggup melakukan apa sahaja demi menegakkan kebenaran dan keadilan. Demikian juga kalau melihat kepada sejarah pejuang kemerdekaan Tanah Melayu dari penjajahan Inggeris adalah dipelopori oleh golongan agama dan para ulamak.

vi. Iman dan takwa membentuk akhlak yang unggul. Rasulullah orang yang paling tinggi iman dan takwanya dan bagindalah orang yang paling tinggi akhlaknya. Allah berfirman:

وَإِنَّكَ لَعَلى خُلُقٍ عَظِيمٍ - 4 -

“Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia”. - Al-Qalam : 4 - .

Rasulullah SAW bersabda:
 أكمل المؤمنين ايمانا أحسنهم خلقا
Maksudnya : “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang lebih baik akhlaknya”.

vii. Orang yang beriman dan bertakwa, ilmunya sentiasa bertambah Allah akan mengajar dan memberi ilmu kepada mereka.

وَاتَّقُوا اللَّهَ وَيُعَلِّمُكُمْ اللَّهُ
“Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan - ingatlah - , Allah - dengan keterangan ini - mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”. - Al-Baqarah : 282 - .

viii. Iman dan takwa melahirkan manusia yang berani. Allah berfirman:

وَلَا يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلَّا اللَّهَ
“..dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah”. - Al-Ahzab : 39 - .

ix. Iman dan takwa akan melahirkan manusia yang mempunyai neraca dan panduan hidup yang jelas.

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَتَّقُوا اللَّهَ يَجْعَلْ لَكُمْ فُرْقَانًا
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu - petunjuk - yang membezakan antara yang benar dengan yang salah” - Al-Anfal : 29 - .

x. Iman dan takwa meletakkan seseorang di tempat yang tinggi. Hakikat ini ditegaskan sendiri oleh Allah:
إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ
“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, - bukan yang lebih keturunan atau bangsanya - ”.   - Al-Hujurat : 13 - .

xi. Iman dan takwa melahirkan sahsiah yang terpuji, suka melakukan kebajikan, kerana iman adalah segala kebaikan.

xii. Iman melahirkan insan yang benar, amanah, ikhlas, sabar, mempunyai pendirian dalam hidup, rajin, berdisiplin dan seumpamanya.

Berasaskan kepada apa yang dikemukakan, jelas menunjukkan bahawa iman dan takwa adalah salah satu asas jatidiri yang sangat pentig. Tanpanya tidak mungkin seseorang itu akan memiliki sifat jatidiri yang sebenarnya.

2.5. Cara Pembinaan Iman dan Taqwa.

Untuk membina iman dan takwa manusia perlu merujuk kepada panduan Allah s.w.t. melalui RasulNya Muhammad s.a.w. Justeru itu menjadi kewajipan kepada setiap muslim untuk mempelajari dan memahami manhajIslam. Telah dijelaskan sebelum ini bahawa salah satu asas jati diri ialah pengetahuan dan kefahaman. Tanpa memahami petunjuk Allah dalam al Quran dan al Sunnah, sukar untuk memperolehi hakiakat keimanan dan ketakwaan. Untuk memperolehi iman dan takwa secara ringkasnya antara lain ulamak Islam merumuskan seperti berikut:

i. Memahami dan menyedari bahawa menuntut ilmu adalah wajib. Ilmu yang paling asas ialah tentang Allah, Rasul dan Islam.
ii. Cuba hubungkan diri bersama orang-orang mukmin dan ikhlas.
iii. Mengelakkan diri dari suasana dosa dan jahiliah.
iv. Mujahadah al Nafs dan jihad al Syaitan perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan berterusan:
قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا - 9 - وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا - 10 -
“Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih bertambah-tambah bersih - dengan iman dan amal kebajikan - , Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya - dengan sebab kekotoran maksiat - .” - As-Shams : 9-10 - .

v. Berusaha bersungguh-sungguh meninggalkan perkara-perkara haram. Orang yang melanggar larangan Allah, sebenarnya ia menzalimi diri sendiri. Allah berfirman:

وَمَنْ يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ
“Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepada dirinya. - At-Talaq : 1 - .

vi. Bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah-ibadah asas seperti solat berjemaah, mentadabbur al Quran dan al Sunnah dan melatih diri untuk sentiasa mengingati Allah.

vii. Sentiasa berfikir ke arah memperbaiki diri - Muhasabah diri - . Saidina Omar pernah berkata:

حاسبوا أنفسكم قبل أن تحاسبوا وزنوا قبل ان توزنوا
Maksudnya : “Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisabkan dan timbanglah amalan sebelum amalan kamu ditimbangkan”.

viii. Sentiasa bertaubat dan beristighfar:

وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ - 31 -
“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” - An-Nur : 31 - .

ix. Sentiasa berdoa, Rasulullah sendiri berdoa:

اللهم آت نفسي تقواها

Maksudnya : “Ya Allah kurniakanlah pada jiwaku taqwa”.

x. Bertawakkal :

و من يتوكل على الله فهو حسبه
Maksudnya : “Sesiapa yang bertawakkal kepada Allah.

Ia akan mencukupi keperluannya”.

3.Keiltizaman Dengan Islam.

3.1. Maksud Keiltizaman Dengan Islam:

Iltizam dengan Islam, bermaksud hidup berdasarkan petunjuk Allah s.w.t. Menjadikan Islam sebagai pegangan hidup. Islam sebagai cara hidupnya. Berpegang kuat dengan tali Agama dan sentisa menjaga nilai-nilai yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Allah berfirman:

إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ الْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَنْ يَقُولُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْمُفْلِحُونَ - 51 -

“Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat": dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan”. - An-Nur : 51 - .

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمْ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا - 36 -

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - - tidaklah harus mereka - mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata”. - Al-Ahzab : 36 - .

Ayat di atas antara lain menunjukkan betapa pentingya penghayatan Islam dalam kehidupan. Islam bukan sekadar pengakuan, tetapi ia mesti dilaksanakan dalam semua aspek kehidupan. Ayat ini juga menunjukkan bahawa iman dan kepatuhan kepada Allah dan Rasul adalah sesuatu yang tidak boleh dipisahkan kerana di antara keyakinan orang mukmin ialah mereka yakin terhadap kebaikan Islam. Allah tidak akan menyuruh sesuatu dan tidak melarang kecuali untuk kebaikan manusia dan makhluk seluruhnya. Sesiapa yang ingkar, dia telah memilih kesesatan.

Iltizam dan istiqamah mempunyai kaitan yang rapat. Biasanya orang yang istiqamah dia dapat iltizam dengan Islam. Seorang sahabat bertanya Rasulullah tentang Islam, satu soalan yang meminta jawapan yang sangat penting dan mencakupi, agar ia tidak perlu bertanya soalan lain lagi.

Daripada Abi Amr dan ada yang mengatakan daripada Abi Amrah Sofian bin Abdullah RA, katanya, “Ya Rasulullah! Katakanlah kepada saya tentang Islam ini satu perkataan yang mana dengannya saya tidak akan bertanya lagi kepada sesiapa selain dari ini, maka berkata Rasulullah “Katakanlah, saya beriman kepada Allah, kemudian hendaklah engkau beristiqamah dengannya”.

3.2. Iltizam Dengan Islam sebagai Asas Jatidiri.

i. Iltizam dengan Islam adalah sifat yang sangat dikasihi oleh Allah. Rasulullah bersabda:

احب الدين اليه ما دام عليه صاحبه

Maksudnya : “Agama yang paling Allah kasihi ialah ibadah yang dilakukan secara berterusan”.

ii. Keiltizaman terhadap Islam akan menambahkan ilmu dan kefahaman di samping mempertingkatkan iman seseorang kerana ilmu, iman dan amal adalah saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Setiap satu membantu yang lain. Ilmu yang diamalkan akan ditambah oleh Allah dan serentak dengan itu imannya meningkat. Demikianlah sebaliknya, ilmu yang diamalkan, nanti akan semakin berkurangan kalau ilmu semakin pupus dan amalan semakin sedikit.

iii. Orang yang iltizam dengan Islam, akan bertambah kualitinya dalam semua aspek, dari sudut disiplinnya, pengurusan masa, pengalaman, ketabahan, keikhlasan, amanah dan sebagainya. Keadaan sedemikian berlaku kerana Islam sentiasa mendidik menjadi sedemikian rupa.

iv. Tidak ada iltizam, bermakna tidak ada sifat jatidiri. Justeru itu Islam menggabungkan ilmu, iman dan amal.

Kesimpulan:
Tidak ada jalan lain untuk membentuk jatidiri, kecuali dengan cara memiliki asas-asas seperti yang telah dijelaskan, dan tidak ada cara lain untuk memperolehi asas-asas tersebut melainkan dengan merujuk kepada panduan atau pun manhaj Allah s.w.t. dan petunjuk Rasulullah s.a.w.

KOLEKSI
************************
Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis, MALAYSIA
Tel: 013-400-6206, 011-1070-4212, 04-988-2701
Email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com