ISI KANDUNGAN

RASULULLAH S.A.W. MODEL JATIDIRI MUSLIM... 1
Riwayat Hidup Rasulullah S.A.W. 1
Penyusuan. 3
Asuhan. 5
Tanda-tanda Kerasulan. 9
Perkahwinan. 11
Mencari Kebenaran. 12
Di bawah Naungan Nubuwwah. 13
Hijrah. 15
Mukjizat Rasulullah s.a.w. 17
Kewafatan Rasulullah s.a.w. 18
PENUTUP. 19
PERJUANGAN RASULULLAH S.A.W. DALAM MENEGAKKAN ISLAM... 20
Bermulanya Perjuangan Rasulullah s.a.w. 20
Pendekatan perjuangan Rasulullah s.a.w. 22
a -  Dakwah di Mekah. 24
b -  Dakwah di Madinah. 29
Faktor-faktor kejayaan Perjuangan Rasulullah s.a.w. 32
Kesimpulan. 32
AKHLAK RASULULLAH.. 33
Pertama. 34
Kedua. 35
Ketiga. 35
Keempat. 35
Kelima. 36
Keenam.. 36
Ketujuh. 37
Kelapan. 37
Sifat-sifat asas Rasulullah. 38
SIDDIQ  - Benar -. 39
AMANAH.. 47
TABLIGH.. 50
FATHANAH.. 56
PENUTUP. 58
TUNTUTAN MENGHAYATI SUNNAH RASULULLAH S.A.W. 58
1. Pendahuluan. 58
2. Sebab-sebab Sunnah perlu diikuti. 60
3. Perbuatan-perbuatan Rasulullah Yang Wajib dan Tidak Wajib Diikuti. 62
4. Kedudukan Sunnah Di Samping al Quran. 65
5. Kesimpulan. 68


BAB 2

RASULULLAH S.A.W. MODEL JATIDIRI MUSLIM

Riwayat Hidup Rasulullah S.A.W.

Rasulullah s.a.w. merupakan jambangan yang tersusun padanya seluruh keistimewaan dan kebaikan yang terdapat pada semua manusia. Baginda adalah contoh pemikir unggul dengan pandangan yang waras, kecerdikan dan kebijaksanaan tersendiri dan ketepatan mencari jalan dan sasaran. Urusan baginda digarapkan melalui sifat berdiam yang panjang disokong dengan pengamatan dan keseriusan berfikir serta sentiasa berpihakkan kebenaran. Kesuburan berfikir dan keheningan naluri semulajadi memampukan baginda membaca dan mencerakinkan pita-pita hidup, pergolakan dan arus perjalanan hidup manusia. Baginda menolak segala bentuk khurafat dan menghindarkan diri darinya. Namun baginda tetap berinteraksi dengan ramai manusia dengan kewaspadaan dan basirah terhadap tindakan mereka dan tindakan baginda.  - Sofiy al Rahman al Mubarakfuri, 2000, hal. 83 -

Tujuan mengkaji riwayat hidup Rasulullah s.a.w. dan penganalisaannya bukanlah semata-mata untuk melihat kejadian-kejadian dan episod-episod yang bersejarah atau memaparkan cerita-cerita yang indah sahaja. Tujuan asalnya ialah supaya setiap muslim terutamanya pelajar-pelajar memahami dan menyakini bahawa hakikat zahir dan batin  - defaktor -  Islam semuanya teradun di dalam kehidupan Rasulullah s.a.w. itu sendiri.

Gambaran dan tanggapan ini sesungguhnya akan timbul dan wujud setelah seseorang itu memahami dengan sebenar-benarnya segala hikmah dan keistimewaan prinsip-prinsip dan dasar-dasar Islam satu persatu terlebih dahulu. Tegasnya kajian Riwayat hidup Rasulullah s.a.w. adalah suatu usaha mengumpul hakikat dan intisari dasar-dasar Islam kemudian memadankan dan menyesuaikannya dengan Rasulullah s.a.w. sebagai contoh tauladan.  - Muhammad Said Ramadhan al Buti, 1985, hal 23 -  
Kelahiran Rasullullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w telah dilahirkan di Syuaib Bani Hashim di Makkah pada pagi hari Isnin 9 Haribulan Rabiuawwal dipermulaan Tahun Gajah, dan tahun keempat puluh dalam pemerintahan Raja Kisra Anu Syirwan bersamaan 20 atau 22 April tahun 571 Masihi mengikut perkiraan Ulama Agung Muhammad Sulaiman al Mansurpuri dan pentahkik Falak Mahmud Basya.  - Sofiy al Rahman al Mubarakfuri, 2000, hal 69 -

Ketika mengandungkan Muhammad Aminah telah pergi menyendiri menjauhi kebisingan kota untuk mencari kedamaian dan ketenangan jiwa. Sesungguhnya faktor ini amat penting untuk perkembangan janin di dalam kandungan.  - Afzalur Rahman, 1994, hal 36 -

Kesedihan menyelubungi kehidupan Aminah sebelum kelahiran Muhammad kerana suaminya meninggal di Madinah dalam perjalanan ke Syam untuk urusan perniagaannya. Kegembiraan menyambut zuriat pertamanya itu tidak dapat dikongsi bersama suami yang dikasihi. Abdullah ketika itu dikatakan berusia 25 tahun.  - Sofi al Rahman al Mubarakfuri, 2000, hal. 68 -

Beberapa irhasat  - petanda-petanda -  kebangkitan seorang rasul telah berlaku beberapa ketika, sebelum kelahiran Rasullullah, di antaranya ialah runtuhan empat belas anjung dewan Kisra Parsi, terpadamnya api yang disembah penganut agama majusi, robohnya gereja-geraja di sekitar Tasik Suwah setelah sebelum ini penuh sesak dengan para pengunjung,  - Riwayat oleh al Baihaqi. Tetapi tidak disepakati oleh Muhammad al Ghazali - .  - Sofi al Rahman al Mubarakfuri, 2000, hal. 69 -

Namun sebelum Muhammad lahir, ayahnya terlebih dahulu kembali kerahmatullah. Kegembiraan menyambut zuriat pertamanya itu tidak dapat dikongsi Aminah bersama suami yang dikasihinya.

Diceritakan bahawa, ketika melahirkan bayinya itu Aminah telah melihat satu cahaya keluar daripada dirinya. Kemudian cahaya itu bagaikan memenuhi bumi. Aminah tidak bermimpi. Dia melihat sesuatu yang benar. Cuma dia merasakan dirinya berada dalam dunia khayalan. Syifa’, ibu Abdul Rahman bin ‘Auf dan Barakah, jariah Abdullah menceritakan kepada Aminah dengan rasa kagum. Kedua-duanya melihat dan mengalami peristiwa itu seperti juga Aminah.  - Abdul Hamid Jaudah al Sahhar, 1993, hal.190 -

Sebaik sahaja Baginda dilahirkan, jariah Aminah segera menyampaikan perkhabaran gembira itu kepada Abdul Mutalib dan Abu Lahab. Mereka sangat gembira menerimanya. Abdul Mutalib terus mengambil dan membawa Baginda ke dalam Kaabah, untuk berdoa dan bersyukur kepada Allah. Anak itu dinamakan oleh ibunya dengan nama “Muhammad”, nama itu tidak pernah dinamakan kepada sesiapapun oleh bangsa Arab sebelum ini. Abu Lahab kerana terlalu gembira dengan kelahiran anak saudaranya itu telah mengucapkan kepada jariahnya : “Pergilah Thuwaibah, kamu telah merdeka.” -  Abdul Hamid Jaudah al-Sahhar, 1993, hal. 170  - .

Penyusuan

Penyusuan yang pertama selepas ibunya, ialah daripada Thuwaibah hamba Abu Lahab bersama anaknya bernama Masruh, dengan itu beliau menjadi saudara penyusuan dengan Baginda. Sebelum itu Thuwaibah juga telah menyusukan Hamzah bin Abdul Mutalib, selepas beliau ialah Abu Salamah bin Abdul al Asad al Makhzumi.  - Sofi al-Rahman al-Mubarakfuri, 2000, hal. 70 -

Aminah pada mulanya ingin menyusukan bayinya. Dia telah berusaha sedaya upaya tetapi Muhammad enggan. Dia terfikir kemungkinan anaknya tidak mahu menyusu kerana susunya kering akibat terlalu sedih atas pemergian suaminya. Dipanggilkan Thuwaibah namun Muhammad tetap juga tidak mahu menyusu. Muhammad tidak mahu minum apa-apa selama dua hari setelah dilahirkan sehinggalah pada subuh keesokannya Thuwaibah datang ke rumah Aminah dan dia berjaya menyusukan Muhammad.  - Abdul Hamid Jaudah al Sahhar, 1993, hal. 190 -

Mengikut resam bangsa Arab Hadhar  - Bandar - , bahawa usaha memperolehi penyusu-penyusu untuk anak-anak mereka dari pendalaman, sebagai usaha mencegah dari penyakit-penyakit dari bandar, di samping menguatkan pembinaan jasad anak-anak, mengemaskan otot-otot, malah ianya juga sebagai cara untuk membantu lisan bahasa Arab dengan bahasa yang baik sejak dalam buaian lagi, untuk itu Abdul Mutalib telah berusaha mencari penyusu-penyusu untuk Muhammad.

Beliau kemudiannya menyerahkan Muhammad kepada BANI Sa’ad bin Bakr, iaitu Halimah binti Abi Zuaib dan suaminya dikenali sebagai al-Harith bin Abd al-Qira bergelar Abu Kabsyah dari Qabilah yang sama.  - Sofiy al-Rahman al_Mubarakfuri, 2000, hal. 70 - . Halimah al-Sa’adiyyah akhirnya telah ditakdirkan menjadi ibu susuan Muhammad s.a.w. pada hari kelapan selepas kelahirannya  - Abdul Hamid Jaudah al-Sahar, 1993, hal. 192 -  setelah beliau dan kawan-kawannya datang ke Kota Makkah untuk mencari rezeki dengan menyusukan bayi.

Antara saudara sepenyusuan baginda dengan Bani Sa’ad adalah Abdullah bin al-Harith, Anisah binti al-Harith, Huzafah atau Jazimah binti al-Harith  - iaitu lebih dikenali dengan gelaran al-Syaima’ – beliaulah yang mengasuh Muhammad dan Abu Sufian Ibn al-Harith bin Abdul Mutalib. Bapa saudara Muhammad iaitu Hamzah bin Abdul Mutalib pun pernah menyusu dengan Bani Sa’d bin Bakr, juga dengan itu Hamzah menjadi saudara sepenyusuan dengan Muhammad dari dua orang ibu, Thuwaibah dan Halimah al-Sa’diah, kerana ibu susuan Hamzah di suatu hari telah memberi susuannya kepada Muhammad. Semasa Baginda bersama Halimah, beliau telah menyaksikan banyak keberkatan-keberkatan Muhammad Rasulullah s.a.w.

Demikianlah halnya Muhammad telah menyusu dengan Halimah sehingga usianya dua tahun dan bercerai susu. Halimah kemudiannya telah membawa Muhammad kembali ke pangkuan ibunya tetapi beliau telah meminta supaya Aminah membenarkan Muhammad terus tinggal bersamanya untuk beberapa lama. Aminah kemudiannya mengizinkan supaya Muhammad dibawa kembali tinggal bersama Halimah, hinggalah apabila baginda meningkat empat atau lima tahun, di mana berlakunya peristiwa pembelahan dada baginda.  - Sofi al-Rahman al-Mubarakfari, 2000, hal. 73 -

Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadith dari Anas  - r.a -  bahawa Rasulullah telah didatangi Jibril  - a.s -  di ketika baginda sedang bermain-main dengan anak-anak lain. Jibril memegang baginda dan merebahkannya lalu dibedah dadanya dan dibawa keluar hati dan segumpal darah dari dalamnya, dengan berkata: “Inilah bahagian tempat syaitan bersarang”. Setelah itu disucikan hati baginda di dalam sebuah dulang emas dengan air Zamzam. Kemudian disembuhkan semula badannya dan dibawa semula Rasulullah ke tempat anak-anak tadi. Manakala anak-anak lain berlarian pergi menemui ibunya Halimah dan menceritakan, dengan kata mereka: “ Muhammad telah dibunuh”. Apabila mereka menemuinya semula didapati baginda kepucatan  - al-Asqani, Ibn Hajr, 1994. -

Asuhan

 - i -  Ummu Aiman dan Halimah Sa’diyyah

Muhammad s.a.w. telah dilahirkan sebagai anak yatim tetapi Allah s.w.t. telah menjadikan anak kecil ini sebagai tempat mencurahkan kasih sayang. Setiap orang yang terpandang wajahnya timbul rasa kasih sayang kepadanya. Antara wanita yang amat menyayanginya ialah Ummu Aiman seorang wanita hamba dari suku Habsyiy yang berkulit hitam dan sudah lama menjadi pembantu di rumah pasangan Abdullah dan Aminah.  - Afzalur Rahman, 1994, hal. 37 - . Namun di awal kelahiran baginda Ummu Aiman hanya sempat menjaga baginda bersama bondanya Aminah beberapa hari sahaja. Setelah Muhammad menyusu dengan Halimatus Sa’adiyyah dan tinggal bersama beliau dan keluarganya di kampung Bani Sa'd maka baginda adalah di bawah asuhan Halimah.

Sesungguhnya Halimah mempunyai kepandaian yang luarbiasa dalam hal mendidik anak, mulai dari akhlak hinggalah kebersihannya. Pada hal Halimah hanyalah seorang wanita kampung dan ternyata hasil dari didikannya itu Muhammad menjadi makhluk paling mulia di dunia dan di akhirat.

Setelah umur baginda 4 tahun 1 bulan, Muhammad diserahkan kembali kepada keluarganya. Namun cinta dan kasih sayang baginda kepada wanita yang telah mengasuh, menyusukan dan mendidiknya selama bertahun-tahun memang tidak dapat dilupakan selama hayatnya. Ini jelas terbukti apabila seorang utusan datang kepada baginda menyampaikan berita tentang kewafatan ibu susuannya itu. Tanpa menyembunyikan kesedihannya, baginda mencucurkan airmata di hadapan para sahabat yang berada di sekililingnya.  - Afzalur Rahman, 1994, hal. 45 -

Mengenai Ummu Aiman, setelah meneruskan perjalanan bersama Muhammad setelah kewafatan ibunya, beliau membawa Muhammad menemui datuknya dan bapa saudaranya. Setelah Muhammad diserahkan kepada datuknya, Ummu Aiman terus menjadi pengasuh sehinggalah Muhammad dewasa dan berkahwin dengan Khadijah. Beliau telah dimerdekakan dan berkahwin dengan seorang lelaki Madinah yang tinggal di Mekah bernama ‘Ubaid.

Sepanjang hayat Rasulullah s.a.w. sentiasa berusaha membahagiakan hati Ummu Aiman seperti ibu kandungnya sendiri. Setelah suaminya meninggal dunia Ummu Aiman telah berkahwin dengan sahabat Rasulullah yang juga bekas hamba, iaitu Zaid bin Harithah. Anak-anak beliau iaitu Aiman bin Ubaid dan Usamah bin Zaid kemudiannya telah berjuang bersama-sama Rasulullah s.a.w. menegakkan panji-panji Islam.  - Afzalur Rahman, hal. 45 -

 - ii -  Ibu Kandungnya Aminah binti Wahb

Tidak lama selepas peristiwa pembedahan dadanya oleh malaikat Jibril a.s., iaitu ketika Rasulullah s.a.w. telah berusia empat hingga lima tahun, Halimah al-Sa’diah telah memulangkan Rasulullah kepangkuan ibunya. Baginda tinggal bersama ibunya hingga meningkat usia enam tahun. Aminah teringat untuk ke Yathrib buat menziarahi kubur suaminya. Untuk itu beliau keluar dari Makkah, merentas lima ratus kilometer menuju ke destinasi bersama anak lelakinya yang yatim itu, diiringi pembantunya Ummu Aiman dan ayah mertuanya Abdul Mutalib. Di sana beliau tinggal selama sebulan, setelah itu beliau pun berangkat pulang. Semasa perjalanannya dari sana, beliau telah diserang penyakit dan semakin berat sejak di awal perjalanan lagi dan berakhir dengan hembusan nafas terakhir di tempat bernama “al-Abwa” yang terletak di antara Makkah dan Madinah.

 - iii -  Datuknya Abdul Mutalib bin Hashim

Abdul Mutalib membawa Muhammad pulang ke Makkah dengan perasaan kasih sayang menepu didadanya terhadap cucundanya yang kini yatim piatu. Duka lamanya kembali menusuk perasaan, membawa beliau mengasihi cucunya melebihi kasih sayangnya ke atas anak-anak cucunya yang lain. Beliau tidak pernah tinggalkan baginda keseorangan, meskipun dalam keadaan terpaksa. Sebaliknya beliau sentiasa mendampinginya dan mengutamakan baginda lebih dari cucunya yang lain. Ibnu Hashim menceritakan: “Biasanya dihampar di lindungan Kaabah sebidang tikar khusus untuk Abdul Mutalib, anak-anak dan cucu-cucunya akan bersila di sekeliling tikar itu. Tidak seorang pun yang akan duduk di atas tikar itu hanya Abdul Mutalib seorang kerana menghormati beliau. Namun bila Muhammad datang ketika itu baginda masih kanak-kanak. Baginda duduk di atas hamparan itu, di masa itu bapa-bapa saudaranya akan menarik Muhammad ke tepi untuk memberi tempat kepada Abdul Mutalib, bila beliau melihat Muhammad Rasulullah di situ Abdul Mutalib pun menyeru: “Biarkan anakku demi Allah dia mempunyai kedudukannya. Kemudian beliau duduk disampingnya di atas hamparan itu, dengan menyapu-nyapu di belakang baginda dan beliau sentiasa senang dengan segala perilaku baginda.

Pada usia lapan tahun dua bulan sepuluh hari, datuknya Abdul Mutalib pun meninggal dunia di Makkah, walau bagaimanapun, sebelum wafat, beliau telah sempat berwasiat dan menyerah pemeliharaan Rasulullah kepada bapa saudaranya Abu Talib saudara kandung ayahnya.  - Sofiy al-Rahman al-Mubarakfuri, 2000, hal. 75 -

 - iv -  Bapa saudaranya Abu Talib bin Abdul Mutalib

Abu Talib selaku bapa saudara, telah memikul tanggungjawab menjaga anak saudaranya dengan sebaik-baiknya. Beliau meletakkan baginda bersama-sama dengan anak-anaknya malah memberikan keutamaan kepada Muhammad dengan keistimewaan penghormatan dan sanjungan. Sejak dari kecil Muhammad s.a.w. sudah biasa bekerja mengembala kambing. Sepanjang tinggal bersama bapa saudaranya, Muhammad s.a.w. turut membantu bapa saudaranya berniaga. Mereka sentiasa berulang alik menjalankan perniagaan antara Syam dan Madinah.

Selama tempoh empat puluh tahun Abu Talib sentiasa menyokong baginda, melindungi, membenarkan baginda malah sanggup bertindak dengan apa saja cara demi mempertahankan Muhammad. Abu Talib pernah membawa Muhammad ke Syam dan mereka menjadi tetamu kepada seorang paderi yang bernama Buhaira. Buhaira menjelaskan kepada Abu Talib bahawa Muhammad ada tanda-tanda kenabian dan beliau menasihatkan Abu Talib supaya segera membawa Muhammad kembali ke Makkah untuk menyelamatkan baginda dari tindakan jahat orang-orang Yahudi. Abu Talib segera mengirimkan Muhammad pulang ke Makkah bersama beberapa orang pembantunya.  - Sofiy al-Rahman al-Mubarakfuri, 2000, hal. 76 -

Tanda-tanda Kerasulan


 - i -  Pelbagai perkara ajaib

Pelbagai perkara pelik dan ajaib berlaku sekitar kehidupan Rasulullah s.a.w. setelah kelahiran baginda. Semua ini menjadi tanda-tanda keistimewaan baginda sebagai Rasul. Halimatus Sa’adiah sejak pertama kali menyusukan baginda telah menceritakan bahawa dia telah dikurniakan susu yang banyak yang membolehkan dia menyusukan Muhammad bersama-sama anaknya sehingga kenyang dan tidur nyenyak. Kambing-kambingnya juga memperolehi susu yang banyak dan rezeki mereka mencurah-curah sejak Muhammad tinggal bersama mereka selama lebih dua tahun.

Ibnu Asakir mengeluarkan sebuah hadith dari Jalhanah Ibn Arfatah yang telah berkata:

“Aku sampai ke Makkah dengan penduduknya menghadapi kemarau, Quraisy telah menyebut: Wahai Abu Talib!!! Lembah kita ini sudah kemarau, anak-anak kekeringan. Ayuh, sekarang pohonlah hujan. Dengan itu Abu Talib pun keluar bersama si anak. Si anak itu bagaikan mentari bercahaya, tidak mendung. Beliau dikelilingi anak-anak kecil lain. Abu Talib pun mengangkat tangan baginda dan menyandarkan belakang baginda ke dinding Kaabah, sedang jarinya menekan badan baginda. Ketika itu langit pun berawan, namun tidak berapa lama mendung pun berarak masuk ke langit Kaabah dari sana sini. Hujan pun turun dengan lebat membanjiri lembah Makkah menyuburi kota dan desa. Di situ Abu Talib mengabdikan peristiwa ini di dalam madahnya:

Keberkatan Si putih berseri,
Hujan dipohon dari awan berlari,
Wajahnya bersih menghala lazawardi,
Harapan kalian yatim piatu,
Kekuatan Baginda untuk janda yang pilu.  - Sofi al-Rahman al-Mubakrakfuri, 2000, hal.76 -

 - ii -  Bertemu Pendita Buhaira
Setelah usia Rasulullah meningkat dua belas tahun  - ada yang mengatakan dua belas tahun dua bulan sepuluh hari -  baginda keluar bersama Abu Talib untuk berniaga ke negeri Syam. Apabila sampai di Basrah, yang merupakan sebahagian dari Syam di dalam daerah Hawran  - pada ketika itu Basrah adalah sebuah negeri, di daerah negeri Arab di bawah taklukan Rom - , terdapat seorang paderi yang bernama Jarjis, yang dikenali sebagai Buhaira. Setibanya rombongan ke sana, Buhaira keluar untuk menemui mereka, dan memuliakan mereka sebagai tetamu. Ini bukanlah satu kebiasaannya, kerana sebelum ini beliau tidak pernah keluar untuk menemui sesiapa, beliau mengenali Rasulullah dengan sifat-sifatnya.
Semasa beliau memegang tangan baginda, terus beliau berkata:Inilah penghulu dunia sejagat. Inilah orang yang diutuskan Allah sebagai rahmat untuk sekalian alam. Kata Abu Talib: Dari mana maklumat ini tuan perolehi? Jawab beliau: Tahukah kamu, bahawa semasa kamu mendekati “al-Aqabah” tidak ada batu dan pokok-pokok pun yang tidak sujud kepadanya. Sujud seperti ini hanya berlaku kepada seorang nabi sahaja dan aku kenali pada baginda di bawah tulang dayung, bentuknya seperti epal. Semua sifat-sifat baginda tersebut di dalam kitab kami. Seterusnya beliau meminta supaya jangan dibawa ke negeri Syam kerana ditakuti tindakan jahat Yahudi. Oleh itu Abu Talib mengirim Rasulullah berpatah balik ke Makkah bersama-sama dengan beberapa orang suruhannya.  - Sofiy al-Rahman al-Mubarakfuri, hal 76-77 -

Perkahwinan

Rasulullah s.a.w. berkahwin ketika berusia 25 tahun dengan seorang janda kaya yang dihormati, iaitu Siti Khadijah binti Khuwailid. Khadijah ketika itu berusia 40 tahun dan telah dua kali menjadi janda. Beliau mempunyai seorang anak lelaki berserta dua orang anak perempuan bersama dengan harta yang banyak peninggalan dua orang bekas suaminya.

Khadijah telah menawarkan diri untuk berkahwin dengan Muhammad s.a.w. lalu diterima oleh baginda. Mereka berkahwin dan menikmati kehidupan yang bahagia dan aman damai dengan dikurniakan dua orang anak lelaki  - kedua-duanya meninggal dunia ketika masih kecil -  dan empat orang anak perempuan. Sepanjang perkahwinan dengan Khadijah, beliau merupakan isteri tunggal. Khadijah meninggal dunia pada bulan Ramadhan tahun kesepuluh selepas kebangkitan Rasulullah s.a.w. ketika itu beliau berusia dalam lingkungan tahun  - Sofiy al-Rahman al-Mubarakfuri, 186 -  manakala Rasulullah s.a.w. berusia tahun.  - Afzalur Rahman, 1993, hal. 29 -

Dalam bulan Syawal di tahun kesepuluh tersebut, baginda telah berkahwin dengan Sawdah binti Zam’ah. Beliau adalah antara wanita terulung memeluk Islam. Suaminya as-Sakran bin Amru telah meninggal dunia selepas berhijrah ke Habsyah. Setelah selesai idahnya, Rasulullah s.a.w. telah meminangnya dan berkahwin dengannya. Sawdah adalah isteri pertama yang dikahwini Rasulullah s.a.w. selepas peninggalan Khadijah. Beberapa tahun selepas itu baginda telah berkahwin dengan ‘Aisyah puteri Abu Bakr sahabat karib baginda.

Rasulullah s.a.w. sentiasa melayan isteri-isteri baginda dengan adil dan saksama. Baginda sentiasa bersikap lemah-lembut, bermurah hati dan sentiasa mencurahkan kasih sayang. Begitu juga sikap baginda terhadap anak-anak dan para sahabat baginda.

Mencari Kebenaran

Pencarian baginda terhadap kebenaran di tengah masyarakat yang menyembah berhala itu digambarkan oleh Al Quran. Selama beberapa tahun Muhammad s.a.w. cuba mencari kebenaran dengan bersungguh-sungguh. Baginda rasa sangat terganggu dengan perbuatan-perbuatan buruk yang berlaku di kalangan masyarakat. Isteri baginda, Khadijah, sentiasa memberikan dorongan yang kuat terhadap usaha baginda untuk mencari jalan keluar daripada keadaan Jahiliyyah ini. Baginda selalu membawa bekalan makanan dan pergi menyendiri di Gua Hira’ untuk beberapa hari.

Setelah genap usia baginda empat puluh tahun. Disebutkan pada usia inilah para rasul diutuskan, tanda-tanda kenabian mula bertapak dan muncul di dalam kehidupan. Mimpi-mimpi yang mendatangi baginda adalah dalam bentuk mega-mega subuh. Mimpi ini berulang-ulang dalam tempoh enam bulan  - as-Asqalani, Ibn Hajr, 1994 -   - Tempoh kenabian baginda adalah dua puluh tiga tahun - . Bertepatan pada bulan Ramadhan tahun ketiga baginda beruzlah di Gua Hira’, Allah s.w.t. telah mengutuskan Jibril a.s. untuk menurunkan wahyu yang pertama kepada baginda. iaitu turunnya ayat 1 hinnga 5 surah al- ‘Alaq ketika baginda seorang diri di gua tersebut.

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ - 1 - خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ - 2 - اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ - 3 - الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ - 4 - عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ - 5 -

“Bacalah  - wahai Muhammad -  dengan nama Tuhanmu yang menciptakan  - sekalian makhluk - , Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”.  - Al-Alaq : 1-5 - .

Hari yang bersejarah itu ialah hari Isnin 21 Ramadhan bersamaan 10 Ogos tahun 610H. usia baginda pada ketika itu ialah empat puluh tahun enam bulan dua belas hari menurut perkiraan bulan Qamariah.  - Sofiy al-Rahman al-Mubarakfuri, hal. 88 -

Di bawah Naungan Nubuwwah

Allah s.w.t. menyusun program sebagai persiapan untuk Muhammad s.a.w. memikul amanah agung di muka bumi ini iaitu untuk merombak dan merubah sistem yang sedemikian lama bermaharaja di bumi ini dan demi untuk membetulkan landasan sejarah yang telah diselewengkan. Allah s.w.t. telah menyusun program uzlah selama tiga tahun sebelum baginda menerima Risalah.

Setelah turunnya wahyu yang pertama, menurut pendapat yang masyhur  - lihat al-Tabari dan Ibnu Hisyam - . Allah s.w.t. telah menangguhkan penurunan wahyu berlarutan sehingga tiga tahun atau dua tahun setengah. Di hari-hari penangguhan wahyu. Rasulullah s.a.w. hidup dalam keadaan muram dan berduka. Baginda dilanda kehairanan dan kebimbangan  - lihat al-Asqalani, Ibn Hajr dan Sahih al-Bukhari, kitab al-Tabir -  sehingga beberapa lama. Akhirnya setelah tidak ada lagi rasa kebimbangan dan sebaliknya timbul keyakinan pada diri Rasulullah s.a.w. bahawa baginda adalah utusan, Allah s.w.t. menurunkan wahyu yang kedua di mana Jibril a.s. kembali menemui baginda dengan memperdengarkan suara daripada langit dan baginda menceritakan bahawa baginda melihat Jibril duduk di atas kursi di antara langit dan bumi.  - Sofiy al-Rahman al-Mubarakfuri, hal. 93 - . Selepas itu wahyu pun terus menerus turun.

Sepanjang menjadi rasul, baginda Rasulullah s.a.w. terpaksa menghadapi berbagai dugaan dan cabaran. Penentangan dan penyiksaan terus diterima dari kaumnya yang enggan menerima kebenaran. Baginda dicaci, dihina dan disiksa dengan berbagai bentuk penyiksaan. Namun baginda MENDAPAT sokongan yang kuat daripada para sahabat yang memahami serta isteri baginda sendiri, iaitu Khadijah binti Khuwailid.

Mereka yang mula-mula sekali menerima dakwah selain dari isteri baginda ialah Abu Bakr al-Siddiq, Uthman ibn ‘Affan dan Ali bin Abi Talib dari kalangan kanak-kanak. Kemudian diikuti oleh Bilal bin Rabah dan keluarga Yasir. Manakala ninda dan bapa saudara baginda, iaitu Abdul Mutalib dan Abu Talib atas sebab-sebab peribadi mereka tidak bersama-sama menyahut seruan baginda. Namun mereka sentiasa memberikan perlindungan kepada Rasulullah s.a.w.

Peristiwa pemulauan terhadap keluarga BANI  Hashim berlaku di antara tahun ke 7 hingga ke 10 kerasulan baginda. Mereka menderita selama tiga tahun, hidup tanpa air dan makanan selama beberapa waktu. KeluargaBANI
 Hashim dipulau kerana Abu Talib enggan menyerahkan Muhammad. Mereka mendapat perlindungan di rumah Shuaib Abu Talib  - sekarang dikenali dengan Shuaib Ali -  berhampiran sebuah bukit kecil berhampiran Ka’abah.  - Afzalur Rahman, 1993, hal. 31 -

Pemergian orang-orang yang dikasihi pada saat-saat genting perjuangan baginda adalah satu ujian yang amat berat. Setelah berakhir pemulauan hasil dari perundingan, baginda Rasulullah s.a.w. telah kehilangan bapa saudara yang sangat dikasihi oleh baginda dan isteri yang sangat dicintai. Abu Talib telah meninggal dunia pada bulan Rejab tahun kesepuluh kebangkitan Rasulullah s.a.w. iaitu enam bulan selepas keluar dari pengepungan di Lorong Abu Talib, Khadijah pula kembali ke rahmatullah meninggalkan Rasulullah s.a.w.  - Sofiy al-Rahman al-Mubarakfuri, hal. 186 - . Baginda terus keseorangan dan itulah peluang yang dinantikan oleh orang-orang Quraisy.

Namun baginda terus berdakwah dengan pertolongan Allah s.w.t.. Baginda berdakwah penuh dengan hikmah dan kebijaksanaan. Satu dari taktik baginda di peringkat awal dakwah baginda ialah melarang kaum muslimin dari mengiklankan secara lisan mahupun amalan. Malah pertemuan baginda dengan mereka juga diatur secara rahsia.

Hijrah

Hijrah yang pertama dalam kehidupan Rasulullah s.a.w. ialah ke Habsyah. Setelah Rasulullah s.a.w. melihat penyiksaan orang-orang Quraisy terhadap baginda dan penderitaan pengikut baginda yang amat sangat dan baginda tidak mampu lagi untuk melindungi mereka, maka Rsulullah s.a.w. sendiri mengemukakan pandangan supaya umat yang kecil bilangannya itu berhijrah ke Habsyah  - Ethiopia - . Raja Habsyah ketika itu iaitu Najasyi adalah seorang raja yang tidak zalim. Mereka dianjurkan tinggal di sana buat sementara waktu sehingga Allah s.w.t. membuka jalan dan kelapangan. Kaum Muslimin pun berhijrah beramai-ramai. Antara mereka termasuklah Uthman bin Affan bersama isterinya, Al-Zubair bin Awwam, Mus’ab bin Umair dan Abdul Rahman bin ‘Auf. Jumlah kesemua mereka ialah lapan puluh orang.  - Said Ramadhan al-Buti, hal 142 -

Mereka pulang ke Makkah setelah mendapat berita bahawa penduduk Makkah telah ramai memeluk agama Islam. Namun berita itu adalah palsu dan mereka terpaksa masuk ke Makkah secara bersembunyi dan mendapat pertolongan daripada beberapa orang pembesar Makkah. Najasyi akhirnya telah memeluk agama Islam.  - Said Ramadhan al-Buti, hal 148 -

Ada beberapa pengajaran daripada Hijrah yang pertama ini:

 - i -  Berpegang teguh dengan agama serta menegakkan rukun-rukunnya merupakan asas dan perisai segala kekuatan.

 - ii -  Agama, harta benda, kebebasan dan kemuliaan serta negara mestilah dipertahankan dari sebarang pencerobohan.

 - iii -  Bila keadaan memaksa harus berlindung dengan orang-orang bukan Islam asalkan tidak menyebabkan Islam menjadi bertambah lemah. Jika syarat ini tidak dipenuhi diharamkan orang-orang Islam meminta perlindungan kepada orang-orang bukan Islam.  - Said Ramadhan al-Buti, hal 148 -

Hijrah ke Madinah : Setelah pengikut Rasulullah s.a.w. meningkat kepada tujuh puluh orang, baginda terasa tenang dan agak lega hati. Mereka ini masing-masing mempunyai kepakaran di dalam peperangan, persenjataan dan pertolongan. Di samping penyiksaan oleh orang-orang kafir Quraisy makin bertambah-tamabah terhadap para muslimin, maka mereka pun mengadu kepada Rasulullah s.a.w. dan meminta izin untuk berhijrah. Rasulullah SAW pun menjawab:

“Sesungguhnya aku telah pun diberitahu akan tempat  perpindahan  - hijrah -  kamu, iaitu Yathrib. Siapa sahaja yang ingin berpindah bolehlah berpindah ke sana.”

Kemudian para sahabat Rasulullah s.a.w. telah berhijrah secara bersembunyi. Kecuali Saidina ‘Umar yang berhijrah secara terang-terangan. Hanya baginda Rasulullah s.a.w., Abu Bakar dan Saidina ‘Ali berserta mereka yang diseksa di dalam kurungan serta mereka yang tidak berdaya kerana sakit sahaja yang tinggal belum berhijrah.

Rasulullah s.a.w. dan sahabat akrabnya Abu Bakar r.a. kemudiaannya telah menyusun strategi penghijrahan mereka. Setelah mendahului berbagai halangan, bersembunyi di Gua Thur, meredah padang pasir yang dilingkungi musuh dan melalui persisiran pantai. Rasulullah s.a.w. dan Saidina Abu Bakar telah selamat sampai dan disambut meriah di Quba’. Baginda juga bertemu dengan Saidina’ Ali di situ. Baginda singgah di rumah Kalthum bin Hudm dan di Quba’ ini Rasulullah s.a.w. telah mengasaskan sebuah masjid. Masjid itulah merupakan masjid pertama dibina di tanah ‘Arab. Rasulullah s.a.w. mula menjejakkan kaki di Madinah pada dua belas haribulan Rabi’ul-Awwal.  - Muhammad Said Ramadhan al-Bati, 1985, hal.235 -

Penghijrahan ini kemudiannya disusuli dengan usaha mulia yang dilaksanakan oleh baginda Raslullah s.a.w. demi masyarakat baru Madinah al-Munawwarah.

Mukjizat Rasulullah s.a.w.

Segala keistimewaan yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w. adalah merupakan mukjizat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. untuk membuktikan kenabian dan kerasulan baginda. Antara contoh mukjizat baginda ialah:

 - i -  Memancarkan air dari celah jari-jemari baginda sehingga dapat menghilangkan dahaga para askar yang sedang kehausan yang amat sangat.

 - ii -  Sebatang pohon yang pernah Rasulullah s.a.w. berkhutbah di atasnya menangis setelah dibuatkan mimbar khas di mana baginda tidak lagi berkhutbah di atasnya.

 - iii -  Baginda memberitahu puterinya Fatimah bahawa beliau adalah orang pertama yang akan menyusul selepas kewafatan baginda. Ini benar-benar berlaku.  - Imam Ghazali, Syeikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi, 1990, hal.407 -

 - iv -  Peristiwa Isra dan Mikraj di mana Rasulullah s.a.w. bertemu dengan Allah s.w.t. dan diperlihatkan berbagai-bagai keajaiban di langit kepada baginda dalam masa semalaman sahaja.

Semua mukjizat yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w., termasuk peristiwa Isra’ dan Mikraj memberikan gambaran tentang kekuasaan Allah s.w.t. dan kebenaran nabi dan Rasul-Nya. Kerasulan nabi Muhammad s.a.w. sama sekali tidak dapat ditolak oleh akal fikiran manusia. Allah s.w.t. juga memberikan peristiharan kepada seluruh kaum musyrikin setiap masa dan dimana saja mereka berada bahawa segala macam gangguan dan penyiksaan yang dilakukan terhadap Rasulullah s.a.w. tidak akan dibiarkan oleh Allah s.w.t. tanpa bantuan dan pertolongan.

Kewafatan Rasulullah s.a.w.

Setelah dakwah Islamiyyah sempurna dan Islam menguasai suasana maka tanda-tanda dan bahasa pengucapan selamat tinggal kepada dunia dan manusia seluruhnya tertera di dalam ucapan-ucapan dan ungkapan-ungkapan Rasulullah s.a.w. melalui perbuatan dan juga perbualan baginda.

Di dalam bulan Ramadhan tahun ke sepuluh Hijrah baginda beriktikaf di masjid selama dua puluh hari sedangkan sebelum itu baginda beriktikaf hanya sepuluh hari sahaja. Di dalam tempoh itu Jibril a.s. menemui baginda untuk membuat ulangan dan tadarus al-Quran sebanyak dua kali. Di dalam Hajjah al-Wada’, baginda telah menyebut: “Sebenarnya kemungkinan aku tidak akan menemui kamu lagi selepas pertemuan kita tahun ini”. Semasa di Jamrah al’Aqabah baginda berkata “Ambillah peribadatan Haji ini dariku. Boleh jadi aku tidak akan mengerjakan haji lagi selepas tahun ini.”  - Sofiy al-Rahman al-Mubarakfuri, hal. 835 -

Surah al Nasr turun di pertengahan hari-hari tasyrik, darinya baginda mengetahui bahawa itu adalah ucapan selamat tinggal dan pemberitahuan tentang pemergian baginda untuk mengadap Allah s.w.t.

Peristiwa kewafatan Rasulullah s.a.w. berlaku pada pagi Isnin 12 Rabiul Awwal tahun kesebelas Hijrah di waktu usia baginda 63 tahun 4 hari. Rasulullah SAW wafat di pangkuan ‘Aisyah r.a..

PENUTUP

Demikianlah sejarah Rasulullah Muhammad s.a.w. menghidangkan kepada kita sejambak contoh peribadi unggul sebagai uswah hasanah. Peribadi yang dipercayai dikalangan sahabat dan keluarga. Peribadi yang menyeru ke jalan kebenaran dengan sabar, bijaksana dan lemah lembut. Seorang pejuang yang mengorbankan seluruh hidupnya untuk menegakkan agama Allah. Seorang Ketua Negara yang mendayung teraju pemerintahan dengan cekap dan pintar. Seorang suami yang halus pergaulannya. Seorang bapa yang amat memahami dan prihatin, teliti serta bijak melaksanakan tanggungjawabnya terhadap anak dan isteri. Seorang Panglima Perang yang tangkas dan bijak mengatur strategi. Seorang hamba yang bijak membahagikan dedikasinya kepada Allah s.w.t., keluarga, sahabat handai dan sesiapa sahaja yang berurusan dengannya. Itulah Muhammad bin Abdullah, kekasih Allah yang dikurniakan segala kemuliaan.

PERJUANGAN RASULULLAH S.A.W. DALAM MENEGAKKAN ISLAM

Pendahuluan
Nabi Muhammad s.a.w. selaku makhluk pilihan dan rasul contoh bukanlah calang-calang manusia sehingga sanggup melakukan satu perjuangan yang begitu besar dan hebat. Perjuangan bagi menegakkan aqidah tauhid di tengah-tengah masyarakat jahiliyyah di mana kehidupan mareka jauh terpesong dari landasan agama yang benar. Perjuangan menentang kezaliman dan penindasan kepada keadilan. Perjuangan menentang kezaliman dan penindasan kepada keadilan. Perjuangan yang menuntut pengorbanan yang tidak terhingga banyaknya, baik dari segi aspek fizikal, mental dan spiritual. Namun semua itu dapat dihadapi dan dilaksanakan oleh pejuang yang hebat ini dengan pimpinan dan pertolongan dari Allah s.w.t. Natijah daripada itu akhirnya membuahkan kejayaan kepada baginda dengan lahirnya umat Islam dan terbentuknya negara Islam pertama iaitu Madinah al-Munawwarah.

Bermulanya Perjuangan Rasulullah s.a.w.

Perjuangan Rasulullah s.a.w. bermula setelah baginda diangkat menjadi Rasul. Kerasulan baginda berlaku selang 40 hari baginda menerima wahyu pertama sekaligus menandakan baginda telah menjadi nabi.  - Abdullah Al Qari, 1985: hal.89 - . Peristiwa menerima wahyu pertama melalui perantaraan malaikat Jibril a.s. berlaku pada malam 17 Ramadhan tahun 41 dari umur Nabi s.a.w. ketika baginda sedang berkhalwat di dalam Gua Hira’ yang terletak di Jabal An-Nur iaitu kira-kira 6 batu jauhnya dari Kota Makkah. Mengikut pendapat Ustaz Muhammad Farid Wajdi, pemergian nabi Muhammad s.a.w. beulang-alik ke Gua Hira’ terutama ketika usianya mendekati 40 tahun semata-mata untuk tahannus .Maksud tahannus ialah tabarrur. Tabarrur pula bererti berbuat bakti  - Zainal Ariffin, 1985:hal.113 - . Manakala ahli-ahli sejarah angkatan pertama seperti Ibnu Hisyam di dalam Siratun Nabi menyebut asal perkataan tahannus adalah dari kalimah tahannuf dan tahannuf ini dari hanif, iaitu mencenderongkan diri kepada Allah dengan mengikut agama Ibrahim.  - Zainal, 1985:hal.112 - . Jika diperhatikan kepada amalan khalwat dan tahannus Rasulullah s.a.w. di sepanjang bulan Ramadhan setiap tahun, jelas menunjukkan kepada kita bahawa baginda mempunyai maksud tertentu terutamanya dalam usaha baginda memantapkan jiwa serta mengumpul dan membulatkan fikirannya yang kian hari kian bergolak. - Zainal,1985:hal.114 -

Pemilihan Gua Hira’ ini amat bertepatan dengan usaha pemantapan jiwa baginda agar tidak gentar dan melenyapkan rasa takut serta melatih diri hidup dalam kesusahan. Melalui jiwa seperti inilah baginda mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diperintahkan Allah sebagai penolong dan pemimpin bagi seluruh alam. Kesimpulannya segala susah payah baginda untuk sampai dan berada di Gua Hira’ itu boleh dianggap sebagai perjuangan batin dan menjadi titik-tolak bagi perjuangan-perjuangan yang lebih besar di masa-masa akan datang.

Setelah beberapa ketika lamanya menghilangkan diri, malaikat Jibril a.s. datang buat kedua kalinya menemui Rasulullah s.a.w. dalam bentuk rupanya yang memenuhi ruangan di antara langit dan bumi serta melaungkan dengan kuatnya dengan kata-kata berikut:

Maksudnya. “Wahai Muhammad! Sekarang ini engkau Rasulullah dan aku adalah Malaikat Jibril!   - Khalid, 1994: hal.39 -

Nabi Muhammad s.a.w. segera pulang dan menyuruh Khadijah menyelimutinya. Lalu Jibril a.s. datang membaca wahyu:

يَاأَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ - 1 - قُمْ فَأَنذِرْ - 2 - وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ - 3 - وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ - 4 - وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ - 5 - وَلَا تَمْنُنْ تَسْتَكْثِرُ - 6 - وَلِرَبِّكَ فَاصْبِرْ - 7 -

“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran  - kepada umat manusia - . Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi”.  - Al-Mudassir : 1-5 - .

Turunnya ayat ini menandakan secara rasminya Nabi Muhammad s.a.w. menjadi Rasulullah bagi menerima dan melaksanakan segala perintahNya untuk menjadi rahmat kepada sekelian manusia, jin serta alam keseluruhannya. Sebagai mana yang terkandung dalam firman Allah s.w.t.

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ - 107 -

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau  - wahai Muhammad - , melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”.  - Al-Anbiya’ : 107 - .

Justeru itu adalah menjadi tugas dan tanggungjawab baginda Rasulullah s.a.w. membawa risalah yang besar ini iaitu risalah tauhid kepada seluruh umat manusia agar mereka tunduk menyerah dan menghambakan diri di bawah keesaan Allah s.w.t. Risalah tauhid inilah yang diperjuangkan hingga ke akhir hayat baginda.

Pendekatan perjuangan Rasulullah s.a.w.

Perjuangan Rasulullah s.a.w. dalam menegakkan kalimah tauhid boleh dikaitkan dengan gerakan dakwah dan jihad baginda. Hal ini boleh diperhatikan melalui firman Allah s.w.t.:

يَاأَيُّهَا الرَّسُولُ بَلِّغْ مَا أُنزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ وَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَمَا بَلَّغْتَ رِسَالَتَهُ وَاللَّهُ يَعْصِمُكَ مِنْ النَّاسِ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ - 67 -

“Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya  - dengan menyampaikan semuanya - , maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya; dan Allah jualah akan memeliharamu dari  - kejahatan -  manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir”.  - Al-Maidah : 67 - .

Islam adalah agama wahyu, agama risalah yang merupakan pesan ketuhanan yang mesti disampaikan kepada segenap lapisan umat manusia. Islam adalah agama dakwah di mana semua umat Islam berkewajipan mengajak manusia dengan segala macam cara dan media, agar menerima kebenaran agama Allah, meyakini dan mengamalkannya dalam segala aspek kehidupan.

Dalam hal ini, Said Ramadan al-Buti dalam bukunya Fiqh Al-Sirah menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. dalam usaha dakwahnya telah melalui beberapa peringkat yang berlainan iaitu:

Peringkat pertama : seruan secara sulit memakan masa selama tiga tahun.

Peringkat kedua : seruan berlaku secara terang-terangan tanpa kekerasan berjalan  sehingga berlakunya hijrah.

Peringkat ketiga: dakwah secara terang-terangan menggunakan senjata untuk  mempertahankan diri berjalan hingga pembukaan Makkah.

Peringkat keempat: dakwah secara terang-terangan dan mengangkat senjata terhadap mereka yang cuba menghalang perjalanan dakwah. Dalam peringkat inilah dipraktikkan syari’at-syari’at Islam dan perintah jihad pun diturunkan.
Secara ringkasnya, peringkat pertama dan kedua merupakan peringkat dakwah baginda s.a.w. di Mekah dan dua peringkat berikutnya adalah semasa baginda di Madinah.

a -  Dakwah di Mekah

Pada peringkat awal dakwah Rasulullah s.a.w. di Mekah berlaku secara sulit. Ianya dijalankan sedemikian cara agar kafir Quraisy tidak terperanjat dengan seruannya kerana kesemua mereka terlalu fanatik dengan penyembahan berhala. Oleh itu sebagai langkah pertama, seruan baginda adalah kepada mereka yang paling hampir atau kenal dan rapat dengan baginda sahaja. Mula-mula risalah tauhid ini disampaikan kepada isteri baginda iaitu saidatina Khadijah yang muncul sebagai orang pertama memeluk Islam. Kemudian diikuti dengan ‘Ali bin Abi Talib, Zaid bin Harithah  - orang suruhan dan angkat nabi - , Abu Bakar bin Qufahah, ‘Uthman bin ‘Affan, Al-Zubair bin ‘Awwam, ‘Abdul Rahman bin 'Auf, Saad bin Abi Waqqas dan lain-lain lagi.  - Said Ramadhan, 1983:hal. 92 - . Hakikat yang nyata ialah mereka yang terdekat dengannya dan kenal sepenuhnya segala sesuatu berhubung dengan kehidupan dan peribadi baginda adalah merupakan orang-orang yang terawal memeluk Islam. Ini membuktikan mutlaknya kebenaran dan kesucian agama ini.

Dakwah ini dirahsiakan sehingga Rasulullah s.a.w. terpaksa ke gua-gua di leeng-lereng bukit untuk menunaikan sembahyang bersama-sama sahabat-sahabatnya supaya tidak dilihat oleh orang lain. Pada suatu ketika perbuatan baginda telah dilihat oleh bapa saudaranya, Abu Talib, lalu ia bertanya kepercayaan baru apakah yang dianuti olehnya. Rasulullah s.a.w. menjawab bahawa ini ialah agama neneknya, Ibarahim. Abu Talib kemudian berkata, walaupun beliau tidak menerima agama ini, tetapi membenarkan Rasulullah s.a.w. menganutnya dan akan terus melindunginya.  - Siddiqi, ter. Abdul Rahman, 1985: hal. 72 -

Ketika pemeluk agama Islam meningkat kepada tiga puluh orang lelaki dan perempuan, maka Rasulullah s.a.w. pun telah memilih satu tempat yang agak terpencil sedikit iaitu di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam. Di situ Rasulullah menyampaikan segala taklimat, tunjuk ajar dan nasihat. Akhirnya pengikut baginda yang memeluk Islam telah meningkat kepada hampir empat puluh orang yang kebanyakkannya adalah tediri dari golongan fakir miskin dan hamba sahaya yang tidak mempunyai tempat dalam masyarakat Quraisy.  - Said Ramadan, 1983:hal.92 & 93 - .

Hikmah dakwah secara rahsia atau sulit bukanlah bererti baginda takut sesuatu yang buruk akan menimpa ke atas dirinya. Akan tetapi adalah untuk memastikan mereka yang memeluk Islam ini benar-benar cenderung dan minat kepada seruan dakwahnya. Di samping sebagai pengajaran kepada pendakwah di masa akan datang supaya berhati-hati dan berwaspada ketika menjalankan tugas serta mengkajinya dengan penuh teliti untuk sampai kepada matlamat dan tujuan dakwah.

Setelah tiga tahun dakwah secara sulit ini berlaku, maka turunlah perintah untuk berdakwah secara terang-terangan sebagaimana firman Allah s.w.t:

فَاصْدَعْ بِمَا تُؤْمَرُ وَأَعْرِضْ عَنْ الْمُشْرِكِينَ - 94 - إِنَّا كَفَيْنَاكَ الْمُسْتَهْزِئِينَ - 95 -

“Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu  - wahai Muhammad - , dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu. Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu”.  - Al-Hijr : 94, 95 - .

Menyahut seruan Allah s.w.t. ini, Rasulullah s.a.w. dengan seluruh keimanan dan kezamannya mempersiapkan diri untuk menghadapi situasi baru ini. Langkah pertama yang diambil baginda ialah mengumpul Bani Fihr dan Bani Adi di atas Bukit Safa. Kesemua mereka turut hadir dalam perjumpaan itu. Bagi yang uzur terpaksa menghantar wakil peribadi. Di situlah nabi bangun dan lantas berkata: “Apakah kamu sekelian akan percaya atau tidak sekiranya aku ceritakan bahawa di sebalik bukit ini ada sekumpulan musuh yang akan menyerang kamu.” Jawab mereka: “Sudah pasti kami akan percaya kerana kami belum pernah lagi mendengar percakapan dusta darimu.” Kemudian Rasulullah s.a.w. menambah: “Sesungguhnya aku ini pembawa berita yang menakutkan iaitu dihadapan aku ini ada suatu azab yang amat sengsara yang paling hebat.” Abu Lahab pun bangun lalu menjawab: “Binasalah engkau hai Muhammad, apakah untuk ini sahaja yang engkau kumpulkan kami?” Selepas itu maka turunlah ayat Al-Quran iaitu Surah Al Masad.  - Said Ramadan, 1983:hal.100 -

Kemudian baginda menggunakan pendekatan yang telah ditunjuk ajarkan kepadanya oleh Allah s.w.t. dalam firmanNya:

وَأَنذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ - 214 - وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِمَنْ اتَّبَعَكَ مِنْ الْمُؤْمِنِينَ - 215 -

“Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat. Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman”.  - As-Syu’ara’ : 214, 215 - .

Sebagai menyahut seruan Allah di atas, Rasulullah s.a.w. telah mengumpul kaum kerabatnya seperti Ka’b bin Luai, Bani Murran bin Ka’b, Bani Hasyim, Bani Abdul Manaf, Bani Abdul Mutalib serta anaknya Fatimah dan menyeru mereka selamatkan diri dan hindarkan diri mereka dari api neraka. Namun seruan baginda telah mendapat reaksi negatif dari kaum kafir Quraisy dengan alasan mereka tidak sanggup meninggalkan agama yang diwarisi dari datuk nenek mereka yang telah sebati dan telah menjadi darah daging. Justeru itu Rasulullah s.a.w. telah menegaskan yang mereka terpaksa dibebaskan dan direvolusikan mental dan cara pemikiran mereka dari belenggu taqlid dan cuba menggunakan akal fikiran dan logik serta menerangkan kepada mereka di mana berhala yang diperbuat daripada batu kemudian disembah itu langsung tidak memberi faedah atau membahayakan mereka.  - Said Ramadhan, 1983:hal.101 -

Natijah dari kecaman Rasulullah s.a.w. terhadap berhala dan penyembahannya, memperhinakan cara pemikiran mereka, baginda telah ditentang habis-habisan oleh kafir Quraisy kecuali mereka yang telah memeluk agama Islam serta bapa saudaranya iaitu Abu Talib. Mereka inilah yang sentiasa mempertahankan Rasulullah s.a.w. dari serangan-serangan kafir Quraisy.  - Said Ramadhan, 1983:hal.102 -

Di antara contoh-contoh tentangan dan tribulasi dalam perjuangan baginda s.a.w. datang dalam bentuk penghinaan dan ejekan. Namun segala-galanya itu tidak sedikitpun menghalang baginda dari jalan perjuangan yang dipilihnya dan ini membuktikan betapa besarnya kesabaran serta ketabahan baginda. Adalah menjadi pengalaman biasa bagi Rasulullah.s.a.w. menemui duri-duri yang dilemparkan di atas jalan yang dilaluinya oleh ketua-ketua masyarakat, membuat bising ketika baginda bersembahyang, perut-perut binatang yang kotor diletakkan di atas belakangnya ketika baginda sujud, lehernya diikat dan dijerut sehingga terbeliak matanya, dan lain-lain lagi. Namun semua tindakan biadap ini gagal untuk menghentikan baginda dari terus memperjuangkan matlamatnya. Kemudian akhlak dan keimanan yang teguh telah menenangkan beliau.  - Na’eem Siddiqui, 1985: hal. 78 & 79 -

Apabila penghinaan dan ejekan itu tidak meninggalkan kesan, helah secara lembut dan halus pula digunakan oleh kafir Quraisy. Antaranya ialah dengan mengemukakan dengan beberapa tawaran seperti harta kekayaan, kepimpinan atau akan dilantik menjadi raja seandainya baginda sanggup meninggalkan perjuangannya sebagaimana yang terdapat dalam cadangan-cadangan yang dikemukan oleh Utbah bin Rabia ketika dihantar menemui Rasulullah s.a.w.  - lihat Ba’eem Siddiqui, 1985: hal.88 -

Segala bentuk penindasan dan kekejaman ini bukan ditujukan kepada Rasulullah s.a.w. seorang sahaja, malahan sesiapa saja dari pengikut-pengikutnya turut merasainya. Bilal bin Rabah dihumbankan ke atas pasir yang panas terik dan seketul batu yang besar diletakkan di atas dadanya namun lidahnya sentiasa menyebut “Ahad, Allah Ahad”. Ammar bin Yasir, dilemparkan di atas pasir yang panas dan dipukul sehingga pengsan. Keluarganya dianiayai dan dilempar ke dalam air dan dipaksa baring di atas besi yang panas membara. Summaiyah, ibu Ammar pula telah ditikam hingga mati oleh Abu Jahal. Zunairah, seorang hamba perempuan yang bekerja di rumah Saidina Umar, telah dibelasah dengan teruk oleh Abu Jahal sehingga kehilangan kedua-dua belah matanya.  - Na’eem Siddiqui, 1985: hal. 93 & 94 - . Apa yang dinyatakan di atas hanya sebilangan kecil contoh insan yang kuat iman dan semangat juang yang kental bagi memastikan Islam tertegak di muka bumi Allah ini. Kemuncak dari seluruh rentetan perintiwa-peistiwa yang menyayat hati ini ialah usaha kafir Quraisy menamatkan riwayat hidup baginda s.a.w.

Di tengah-tengah permusuhan dan tindakan-tindakan penindasan yang kian meningkat, peristiwa Isra’ dan Mi’kraj telah memberikan kekuatan baru kepada Rasulullah s.a.w. dan para pengikutnya. Begitu jugabai’ah  - ikrar -  yang diberikan oleh orang-orang Ansar telah membuka medan perjuangan yang baru. Apa yang nyata Makkah bukanlah merupakan tempat yang boleh bertolak ansur dan kemuliannya untuk menjadi pusat gerakan Islam telah dihalang. Kemuliannya kini telah berpindah ke Madinah dengan turunnya wahyu yang membayangkan keizinan berhijrah.

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah…”  - Al-Anfal : 72 -

b -  Dakwah di Madinah

Penghijrahan Rasulullah s.a.w. dan pengikut-pengikutnya ke Yathrib atau nama barunya Madinah  - Bandar Nabi -  telah membuka dimensi baru dalam perjuangan baginda. Sekiranya dakwah di Makkah berjalan dalam keadaan yang serba tertekan, sebaliknya Madinah menyediakan medan bagi penyerapan Islam secara aman. Di samping meneruskan usaha pemantapan akidah dan dakwah, agenda baginda di Madinah ialah merealisasikan Islam dari aspek-aspek syariah, akhlah serta menyatukan masyarakat di bawah satu kesatuan yang dinamakan sebagai umat Islam. Justeru itu baginda telah mengambil beberapa langkah ke arah perubahan baik dari segi sosio-budaya, politik mahu pun kenegaraan. Di antara langkah-langkah tersebut ialah:

1. Mempersaudarakan orang-orang Ansar dan Muhajirin di mana orang-orang Ansar bukan setakat melindungi keselamatan orang-orang Muhajirin malahan memberi tempat tinggal, harta benda, isteri dan lain-lain sehingga mereka dapat hidup dengan baik di Madinah.

2. Melaksanakan syariat dengan turunnya perintah berpuasa, zakat dan haji di mana semua rukun Islam ini dapat dilaksanakan dengan baik. Di sini jugalah Rasulullah s.a.w. berpeluang mendirikan masjid-masjid seperti Qubaa’ dan Masjid An- Nabawi sebagai tempat ibadat, pendidikan dan pengajaran, juga sebagai tempat menguruskan hal negara Islam.

3. Membentuk Perlembagaan Madinah  - Sahifah Madinah - , di mana orang-orang Islam yang terdiri dari pelbagai golongan itu bebas menjalankan seruan Islam di sekitar Madinah, malah bebas pula memperkenalkan agama ini kepada pedagang-pedagang yang singgah dan berniaga di kota ini. Dengan wujudnya Perlembagaan Madinah, maka terbentuklah sebuah negara baru iaitu negara Islam yang pertama di dunia di bawah pimpinan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai ketua negara, Hakim Besar dan Panglima Tertinggi. Melalui perlembagaan ini juga Rasululah secara halus telah berjaya menyekat sebarang usaha orang-orang Yahudi dari menjalankan sebarang kegiatan untuk berhubung dengan musuh-musuh Islam yang berada di luar Kota Mekah.

Walaupun dakwah di Madinah ini nampak lancar, Rasulullah s.a.w. masih tetap menghadapi beberapa masalah yang rumit dan halus. Selain dari terpaksa menghadapi masalah orang-orang Muhajirin dan Ansar, Rasulullah juga berdepan dengan masalah yang ditimbulkan dari empat golongan manusia yang lain iaitu:-

a -  Golongan Mu’aahid  - Golongan Yang Berdamai -  iaitu golongan Yahudi yang telah membuat perjanjian dengan Nabi s.a.w. dalam Sahifah Madinah.

b -  Golongan Kafir Musyrik iaitu kaum Quraisy dan Pemerintah Mekah dan yang bersekutu dengan mereka.

c -  Golongan Munafiqin  - Golongan Yang Pura-pura Islam -  iaitu penduduk Madinah yang takut menentang Pemerintahan Islam secara terang-terangan lalu melakukan gerakan bawah tanah untuk menghancurkan Pemerintahan Nabi dan Umat Islam.

d -  Golongan Atas Pagar iaitu golongan yang suka mengambil peluang dengan melihat sesiapa yang kuat, maka pihak itulah yang akan disokong atau menjadi tempat perlindungan. Mereka ialah sebahagian besar suku-suku  - kabilah -  Arab yang belum dipengaruhi oleh mana-mana pihak.  - Abdullah Al-Qari,1985: hal.182 & 183 -

Sesungguhnya perjuangan dakwah Rasulullah s.a.w. bukanlah melalui mata pedang dan kekerasan, tetapi dengan penubuhan negara Islam mengundang bahaya bagi kota Madinah. Kemuncak kemarahan kafir musyrik Makkah menyebabkan mereka bersiap-sedia untuk mengangkat senjata dan menanti saat sahaja untuk memulakan peperangan. Manakala orang-orang Yahudi pula secara diam-diam memulakan gerakan jahat mereka. Dalam keadaan yang tegang inilah turunnya perintah Allah agar berperang di Jalan Allah:

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ - 190 -

“Dan perangilah kerana  - menegakkan dan mempertahankan -  ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh  - dengan memulakan peperangan - ; kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh”.  - Al-Baqarah : 190 - .

Melalui wahyu inilah Allah s.w.t. mengarah dan memberi kizinan kepada Rasulnya serta umat Islam seluruhnya menggunkan senjata untuk mempertahankan diri dari serangan musuh dan juga memelihara kebenaran agama, bukan sebagai perompak atau penyerang seperti yang disangkakan oleh orang-orang Barat. Justeru selepas turunnya ayat di atas, berlakulah beberapa siri peperangan yang kebanyakkannya di bawah kepimpinan baginda s.a.w. sehingga membawa kejayaan manis dalam hidup baginda dan umat Islam seperti peristiwa pembukaan Makkah.

Faktor-faktor kejayaan Perjuangan Rasulullah s.a.w.

Di antara faktor-faktor kejayaan perjuangan Rasulullah s.a.w. ialah:-

1. Istiqamah dalam memikul tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya oleh Allah s.w.t. dalam menyampaikan risalah tauhid kepada seluruh umat manusia.

2. Aqidah yang mantap menjadikan Rasulullah s.a.w. dan pengikut-pengikutnya sentiasa bersemangat wira dan tidak takut serta gentar menghadapi segala tekanan, penindasan dan serangan dari musuh-musuh Islam.

3. Akhlak Rasulullah s.a.w. sendiri yang tidak sukakan kekerasan. Baginda tidak pernah menekan orang lain dengan keistimewaan yang ada padanya. Tidak pernah berlebihan dalam percakapannya dan tidak pernah menghina sesiapa. Sebaliknya baginda tunduk menahan sabar terhadap segala penghinaan yang dilakukan oleh orang lain kepadanya. Sikap inilah yang telah memenangi hati musuh-musuhnya sementara pengikut-pengikut tetap setia kepadanya.

4. Sentiasa mendapat bimbingan, petunjuk dan pertolongan dari Allah s.w.t. malahan selaku kekasih Allah s.w.t., doa baginda sentiasa dimakbulkan oleh Allah.

Kesimpulan

Dari penjelasan di atas, dapat disimpulkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah pejuang yang terunggul di dunia. Semangat perjuangan baginda seharusnya menjadi contoh kepada seluruh pejuang-pejuang agama Islam masa kini dan akan datang. Tidak ada seorang insan pun yang mampu menandingi kehebatan Rasulullah s.a.w. sehingga mampu membangunkan agama yang besar ini. Justeru itu tidak hairanlah apabila Micheal H. Hart di dalam bukunya “The 100, A ranking of The Most Influential Person In History” meletakkan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai tokoh nombor satu paling berpengaruh dalam sejarah dunia. Beliau menulis:

“Jatuhnya pilihan saya kepada Nabi Muhammad dalam urutan pertama daftar Seratus Tokoh yang berpengaruh di dunia mungkin mengejutkan antara pembaca dan mungkin menjadi tanda tanya sebahagian yang lain. Tapi saya berpegang pada keyakinan saya, dialah Nabi Muhammad satu-satunya manusia dalam sejarah yang berhasil meraih kejayaan-kejayaan yang luar biasa, baik ditilik dari ukuran agama mahupun ukuran duniawi”  - T.A. Lathief Rousydiy, 1986: hal.1986 -  

AKHLAK RASULULLAH

Rasulullah s.a.w. dipilih oleh Allah dari rumpun yang termulia, dan dipelihara oleh Allah masa kecilnya dan masa remajanya. Baginda dipilih menjadi seorang pemberi khabar gembira dan peringatan. Baginda dipelihara dan diberi pendidikan dengan sebaik-baiknya oleh Allah.  - Drs. Mohammad Isa Selamat,1993:18 - .

Insan yang mulia dan suci ini memperlihatkan sifat-sifat luar biasa semenjak beliau masih kanak-kanak lagi. Pada masa remaja baginda s.a.w. bersifat sopan santun, berbudi bahasa, mencintai kedamaian dan kesunyian. Diriwayatkan semasa berusia empat tahun, dua orang malaikat membelah dadanya dan mencuci dadanya dengan salji, yang bermaksud bahawa diri dalaman baginda s.a.w. sudah disucikan semasa kecilnya lagi dengan kuasa kemalaikatan yang diutus oleh Allah.

Pengenalan di atas menggambarkan kekentalan jiwa Raslullah s.a.w. yang mampu bertahan dari pengaruh jahiliah semasa itu. Masyarakat pada zaman itu mempunyai moral yang buruk. Keadaan Bangsa Arab umumnya dan penduduk Kota Makkah khususnya telah digambarkan oleh Jaafar bin Abi Talib di hadapan Raja Najasyi seperti berikut: “Wahai raja, ketika kami masih di zaman jahiliah, kami menyembah patung, suka makan bangkai, cinta kepada segala bentuk kekejian, tidak pernah bersatu dengan keluarga mahupun dengan tetangga dan yang kuat selalu menindas yang lemah.  - Yunus Ali Al Mudhar,1993:77 -

Dari sudut aqidah pula, masyarakat jahiliah sangat mengagongkan patung-patung. Mereka hidup dalam alam keberhalaan, kemusyrikan dan ketahyulan yang menyesatkan.

Walaupun Rasulullah s.a.w. lahir dalam situasi masyarakat jahiliah, tetapi baginda tidak sedikit pun terpengaruh dengannya, bahkan baginda boleh mengubah kepada suasana keIslaman.

Di sana terdapat beberapa faktor dan unsur yang menyokong kepada kecemerlangan sifat-sifat Rasulullah dan tidak terpengaruh oleh keadaan sekitarnya. Antara faktor-faktor tersebut ialah:  - Dr. Mustafa Al Sibaei, 1985:29 -

Pertama

Baginda dilahirkan di lingkungan keluarga termulia di kalangan bangsa Arab. Dengan demikian Nabi Muhammad s.a.w. itu adalah orang yang paling mulia pula di kalangan suku Quraisy, keturunan anak cucu Hisyam. Suku Quraisy adalah kabilah Arabi yang terhormat dan suci.

Kerana mulianya martabat nenek moyang Nabi di tengah-tengah suku bangsa Quraisy, mereka tidak pernah menganggap Nabi sebagai orang asing, sekalipun dalam hal-hal lain seringkali mereka itu tidak mengakuinya, tidak merasa memilikinya. Hal yang pertama itu terjadi kerana memang keturunan Nabi jelas sekali kemuliannya.

Kedua

Baginda adalah seorang anak yatim piatu. Ayahnya, ‘Abdullah bin Abdul Mutalib, telah wafat ketika baginda baru dikandungkan ibunya dua bulan. Pada usia enam tahun wafat pula ibunya. Dengan demikian sejak kecilnya Nabi s.a.w. telah merasakan kepahitan hidup tanpa kasih sayang ibu bapa. Selanjutnya baginda dipelihara oleh datuknya Abdul Mutalib yang wafat sewaktu nabi baru berusia kira-kira lapan tahun. Seterusnya baginda diasuh oleh pamannya, Abu Talib, hingga dewasa. Fakta ini juga dirakamkan oleh Al Quran dalam Surah al Dhuha ayat 6.

Ketiga

Selama empat tahun dalam masa kanak-kanaknya. Baginda hidup di daerah padang pasir  - dusun - , dalam asuhan keluarga Bani Sa’ad. Di dusun, udaranya lebih bersih untuk pertumbuhan anak kecil. Pengaruh dusun juga amat baik bagi pertumbuhan akhlak dan bahasa anak kecil. Bahkan yatim piatunya Rasulullah s.a.w. merupakan suatu mukjizat daripada Allah s.w.t. Dengan amalan seperti itu, Nabi menjadi bertubuh kuat, berstamina yang tinggi, berlidah fasih, berfikiran cerdas dan sudah mahir mengenderai kuda.

Keempat

Dalam usia remaja baginda menjadi pengembala kambing kepunyaan penduduk Makkah sendiri dengan mendapat upah. Baginda sendiri mengakui hal dalam suatu sabdanya yang bermaksud: “Tak seorang pun dari Nabi-nabi yang diutuskan oleh Allah itu yang tidak pernah menjadi pengembala kambing. Apakah Rasulullah juga demikian?” Tanya sahabatnya. “tak terkecuali dari aku” jawab Nabi. Di sini menunjukkan bahawa baginda berdikari sejak kanak-kanak lagi.

Dalam usia dua puluh lima tahun, baginda membantu Khadijah menjalankan usahanya sebagai pedagang.

Kelima

Baginda tidak tidak pernah mengikuti teman-teman sepermainannya dalam permainan yang tidak berguna. Rupanya baginda memang dipelihara oleh Allah untuk tidak bermain yang sia-sia. Buku-buku yang memuat sejarah hidupnya banyak yang memuat cerita tentang ini. Misalnya sebuah cerita yang mengatakan, bahawa sewaktu berusia remaja baginda pernah tertarik mendengar nyanyian yang dinyanyikan oleh seorang biduan dalam suatu pesta perkahwinan. Kerana merdunya nyanyian itu, timbullah keinginan untuk menyaksikan dari dekat pesta itu. Akan tetapi Allah menghalangnya dengan memberikan rasa mengantuk yang tidak tertahan sehingga Nabi s.a.w. tertidur dan hanya terjaga pada pagi keesokannya harinya. Baginda tidak pernah mengikuti orang-orang melakukan penyembahan berhala, tidak pernah ikut memakan hidangan-hidangan yang diperuntukkan bagi berhala-berhala itu dan tidak pernah pula meminum khamar dan main judi. Badinda tidak suka berkata keji atau mencaci maki.

Keenam

Sejak berusia baligh beliau dikenal sebagai anak yang pintar serta mempunyai daya fikir yang sungguh tajam. Hal ini terbukti dalam peristiwa Hajar Aswad. Tembok-tembok Kaabah rosak kerana bencana alam. Untuk itu penduduk kota Makkah sepakat memperbaikinya. Semua pekerjaan itu pada mulanya berjalan lancar, tetapi ketika akan memasang Hajar Aswad timbullah perselisihan sekitar siapa yang berhak melakukannya kerana setiap kabilah merasakan dia yang paling berhak, maka memuncaklah pertikaian itu dan hampir menimbulkan pertumpahan darah. Untung pada akhirnya mereka berhasil mencapai kesepakatan, bahawa yang diberi hak melakukan pemasangan Hajar Aswad ialah orang yang paling awal memasuki Kaabah besok harinya. Dan ternyata orang yang dimaksudkan ialah Nabi Muhammad s.a.w. oleh kerana baginda paling awal memasuki Kaabah dari Bani Syaibah, maka semua orang menyatakn setuju dan rela menerima semua kebijaksanaan yang akan diambil oleh Nabi. Ditaruhnya batu hitam itu di atas selendang yang sengaja dibentangkan, lalu diminta setiap kepala kabilah memegang sudut selendang dan terus mengangkatnya sama-sama. Setelah sampai di mana Hajar Aswad akan dipasang, lalu baginda pun segera mengangkat dan memasangnya di tempat yang sudah disediakan. Semua orang merasa puas dengan tindakan yang bijaksana itu dan sekaligus terhindar pertumpahan darah yang tidak diingini.

Ketujuh

Sejak berusia muda baginda sudah dikenal oleh masyarakatnya sebagai orang yang sangat jujur, menepati janji, berkeperibadian dan menyenangkan dalam pergaulan. Inilah sebab Khadijah mempercayai baginda untuk ikut memperdagangkan barang-barang jualan ke Kota Basra bersama-sama dengan kafilah-kafilah yang lainnya biasa berangkat sekali setahun. Gaji yang diberikan Khadijah kepadanya adalah dua kali ganda gaji kebanyakan orang lain dan ini ditingkatkan setelah mendengar cerita Maisarah  - seorang lelaki yang bertugas sebagai pembantu Khadijah -  tentang kepercayaan dan kejujuran Nabi .s.a.w. dan setelah melihat banyak keuntungan yang diraih sebagai hasil dari perdagangan Nabi tersebut, bahkan lebih dari itu Khadijah pun lalu berminat dan menyatakan kesudian menjadi isteri Nabi.

Kelapan

Beberapa tahun sebelum menjadi Rasul. Baginda dijadikan oleh tuhan sangat suka menyepi di gua Hira’, tidak jauh dari kota Makkah, yang terletak di sebuah bukit di sebelah Timur Laut kota itu. Di sanalah baginda selama satu bulan merenungi kebesaran-kebesaran dan kekuasaan-kekuasaan Allah s.w.t. Itulah kerjalah selama beberapa hari, di bulan Ramadhan, hingga turun wahyu pertama sebagai permulaan pewahyuan Al Quran.

Fakor-faktor tersebut menggambarkan bahawa kehidupan baginda didedahkan dengan perbagai perkara demi untuk mecapai tahap kecemerlangan sebagai seorang Rasul.

Tidak ada satu aspek pun daripada penghidupan manusia yang tidak dialami oleh Nabi. Di tahap kemanusiaan biasa, Baginda mengalami nasib malang kehilangan kedua ibu dan bapanya semasa ia masih kecil. Baginda hidup dalam kesunyian, sendirian, tekanan masyarakat, kemiskinan dan segala macam percubaan hidup yang boleh dialami oleh seorang remaja. Apabila umurnya meningkat, Baginda terpaksa menghadapi pelbagai bentuk pengidupan yang mnyedihkan. Kematian Khadijah, isteri yang sangat dicintai, kematian anak lelaki semasa mereka masih kecil, dikhianati oleh ahli masyarakat puaknya sendiri, ugutan nyawanya berkali-kali, ugutan terhadap harta benda dan keluarganya dan penyiksaan yang diterima disebabkan tugas Islam yang harus dipikul, satu tugas yang diperjuangkan dengan seluruh jiwa raganya.

Sifat-sifat asas Rasulullah

Setiap Rasul dan Nabi harus memiliki empat sifat sehingga ia layak sebagai pembawa risalah. Selain daripada sifat dasar tersebut, sudah tentu setiap Nabi, terutamanya Nabi terakhir antara sekelian Nabi, mempunyai semua sifat mulia seseorang manusia.

Perwatakan Nabi Muhammad s.a.w. dihiasi dengan sifat ikhlas, murah hati, merendah diri dan benar, berhemah tinggi dan sederhana, juga diharumi dengan sifat mengasihi dan menyayangi serta sentiasa mengalirkan kegembiraan dalam perhubungan, menjadikan baginda diingati dan disanjungi hingga ke hari ini di seluruh dunia Islam. Dalam dirinya tercantum segala kemampuan yang sejati. Hakikat diri Nabi ialah Insan Kamil yang para malaikat diperintahkan supaya sujud dan tunduk. Itulah sebabnya Allah dan para malaikat menghantar selawat dan salam ke atasnya dan kaum mulismin sekelian juga disuruh menghantar selawat dan salam ke atas diri baginda. Mereka diminta supaya menjadikan diri Nabi sebagai model, contoh dan tauladan untuk diikuti sepanjang hayat. - Sayyed Hoseein Nasr,1993:61 -

Di sini penulis akan fokuskan kepada empat sifat dasar yang merupakan sifat-sifat wajib bagi Rasulullah s.a.w. iaitu Siddiq, Amanah, Fatanah dan Tabligh. Apabila sifat-sifat ini diwajibkan kepada Rasulullah s.a.w., ini bermakna umat Nabi Muhammad juga hendaklah mengikuti dan mengamalkan sifat-sifat tersebut dalam kehidupan seharian mereka.

SIDDIQ  - Benar -

Seorang Rasul harus memiliki sifat benar, tidak ada sepatahpun perkataannya yang mengandungi kebatilan, dalam apa sahaja keadaan dan suasana. Sifat Siddiq adalah asas kemuliaan, lambang ketinggian, tanda kesempurnaan dan gambaran dari tingkah perlakuan yang bersih dan suci. Sifat inilah juga yang menjamin dapat mengembalikan hak-hak kepada yang berhak, memperkukuh ikatan antara anggota masyarakat, tidak terkecuali sama ada dia itu seorang alim atau seorang pemimpin yang berkuasa atau seorang hakim atau seorang saudagar sama ada lelaki atau perempuan, dewasa ataupun kanak-kanak, selama mereka itu hidup dalam satu masyarakat yang saling perlu memerlukan antara seorang dengan yang lain.

Sifat benar merupakan salah satu sifat Allah. Ini dijelaskan dalam firman Allah:

اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ لَيَجْمَعَنَّكُمْ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ لَا رَيْبَ فِيهِ وَمَنْ أَصْدَقُ مِنْ اللَّهِ حَدِيثًا - 87 -

“Allah, tiada Tuhan  - yang berhak disembah -  melainkan Dia. Sesungguhnya Ia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat,  - hari -  yang tidak ada syak padanya. Dan siapakah pula yang lebih benar perkataannya daripada Allah?”  - An-Nisa’ : 87 - .

قُلْ صَدَقَ اللَّهُ

“Katakanlah  - wahai Muhammad - : "Benarlah  - apa yang difirmankan oleh -  Allah    - Ali-Imran : 95 - .

Ketika Rasululullah s.a.w. meyampaikan berita tentang penurunan wahyu, buat pertama kalinya kepada Sayyidatina Khadijah r.a., Sayyidatina Khadijah menjawab:

“Tidak sekali-kali! Sesungguhnya kekanda bekata benar”

Seorang Arab Badwi telah melihat wajah Rasulullah s.a.w. dan dapat merasakan tanda-tanda cahaya kenabian yang bersinar di wajah Rasulullah s.a.w., lalu berkata:

“Demi Allah, wajah ini bukan wajah seorang pendusta!”

Risalah Islam juga keseluruhannya adalah benar. Ini dirakamkan oleh Allah :

وَالَّذِي جَاءَ بِالصِّدْقِ وَصَدَّقَ بِهِ أُوْلَئِكَ هُمْ الْمُتَّقُونَ - 33 -

“Dan  - nyatalah bahawa -  yang membawa kebenaran  - tauhid dan hukum ugama -  serta ia  - dan pengikut-pengikutnya -  mengakui kebenarannya  - dengan mematuhi hukum itu - , mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.”  - Az-Zumar : 33 - .

Maksudnya Rasulullah telah datang dengan kebenaran dan orang mukmin membenarkan dengan risalah atau kerasulannya maka mereka itulah orang yang benar-benar bertakwa kepada Allah.

Perintah bersifat benar dan ganjarannya

Allah telah menyuruh para mukmin supaya bertakwa kepada Allah, dan supaya bersama orang yang benar-benar  - sadiqin -  dalam jihadnya, keikhlasannya dan pengorbanannya kerana Allah. Menggabungkan diri bersama dengan orang ‘sadiqin’ akan menambahkan lagi tenaga keimanan, keyakinan dan hidayat. Hal ini dinyatakan oleh Allah dalam firmannya:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ - 119 -

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar”.  - At-Taubah : 119 - .

قَالَ اللَّهُ هَذَا يَوْمُ يَنفَعُ الصَّادِقِينَ صِدْقُهُمْ

“Allah berfirman: "Inilah hari  - kiamat -  yang  - padanya -  orang-orang yang benar  - pada tutur kata dan amal perbuatan -  mendapat manfaat dari kebenaran mereka”   - Al-Maidah: 119 - .

Allah juga menyuruh Rasulnya supaya memohon kepada Allah agar dimasukkan “Mudkhala Sidqin / pintu kemasukan yang benar dan dikeluarkan “Mukhrij sidqin / pintu keluar yang benar:

وَقُلْ رَبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَلْ لِي مِنْ لَدُنْكَ سُلْطَانًا نَصِيرًا - 80 -

“Dan pohonkanlah  - wahai Muhammad, dengan berdoa - : "Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan ugamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku"  - Al-Isra’ : 80 -

 Sifat Siddiq akan memberikan ketenagan kepada jiwa yang mulia, dusta pula menggelisahkan hati dan menjadikan ia resah dan kebingungan.

Dari al Hasan bin Ali katanya: Saya hafal sebuah hadis dari Rasulullah s.a.w.

Sifat benar adalah punca setiap sifat kemuliannya sebagaimana dusta adalah punca kepada kejahatan dan kefasadan. Rasulullah s.a.w. menyebut sifat benar sebagai kunci untuk ke syurga, sepertimana yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis dari Ibnu Mas’ud:

Sifat benar yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. telah diakui oleh para musuh dan juga para pengikut Quraisy :  - Muhammad Syafique, 1995:8 -

i. Pengakuan oleh Abu Jahal Tentang Kerasulan Muhammad s.a.w.

Keadaan ini dapat dilihat daripada hadis Tirmidzi yang meriwayatkan dari Ali bin Abi Talib bahawa Abu Jahal pernah berkata kepada Rasulullah s.a.w. “Sesungguhnya kami tidak mendustakanmu, tapi kami mendustakan apa yang kamu bawa.” Maka Allah turunkan ayat:

فَإِنَّهُمْ لَا يُكَذِّبُونَكَ وَلَكِنَّ الظَّالِمِينَ بِآيَاتِ اللَّهِ يَجْحَدُونَ - 33 -

“Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu akan menyebabkan engkau  - wahai Muhammad -  berdukacita;  - maka janganlah engkau berdukacita -  kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat keterangan Allah  - disebabkan kedegilan mereka semata-mata - ”.  - Al-An’am : 33 - .

a. Sebahagian sahabat telah bergaul dengan Rasulullah sejak sebelum kenabian. Juga setelah beberapa tahun lamanya.

b. Para sahabat bukan termasuk jenis orang pelupa atau lemah ingatan. Mereka juga tidak menghindarkan diri dari kehidupan sebenar, tidak menyepi di hujung dunia. Mereka berasal dari Makkah, yang menjadi tujuan haji setiap tahun. Semua ini merupakan bukti ciri-ciri yang dimiliki para pengikut Rasul.

Keadaan seperti ini sudah tertanam dengan kuat pada zaman kehidupan Rasulullah s.a.w. Dan setelah wafatnya, mereka tetap dalam keadaan asalnya, iaitu sebelum Nabi s.a.w. wafat. Mereka lebih cerdik dalam pebagai aspek kehidupan. Sebagai bukti, mereka tampil sebagai pemenang dalam beberapa peperangan. Bahkan dapat menundukkan dua empayar besar pada saat itu, iaitu Parsi dan Romawi, walaupun dengan kelengkapan yang kurang.

Apabila dua faktor ini telah terpadu, pergaulan yang terus menerus dari pihak pertama dan kecerdasan di pihak kedua, maka masalah-masalah yang diselubungi kebohongan akan mudah disingkap dan kebenaran akan bersinar terang.

Jenis-jenis Sifat Benar
Sifat Siddiq mempunyai beberapa jenis :  - Dr. Haron Din, 1998:172 -
1. Benar pada lidah
2. Benar pada niat dan iradah
3. Benar pada azam dan cita
4. Benar pada amalan.
Imam al Ghazali telah menjelaskan secara detail yang boleh kita ringkaskan seperti berikut:

1. Benar pada lisan atau benar pada kata-kata iaitu meyampaikan suatu kenyataan atau berita menepati seperti apa yang sebenarnya.

2. Benar pada niat dan Iradah ialah bahawa tidak ada pendorong untuk membuat suatu amal kebajikan melainkan Allah. Benar dengan pengertian ini termaksud dalam pengertian ikhlas. Oleh kerana itu orang yang tidak ikhlas dalam amal usahanya adalah dusta seperti yang ditegaskan oleh hadis dan juga al Quran.

Antaranya firman Allah:

وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ - 107 -

“Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta. - At_taubah : 107 - .

Kata-kata mereka ini adalah benar tetapi Allah mengatakan itu dusta kerana mereka mengatakan lain dari apa yang mereka percayakan. Maka mereka tidaklah ikhlas pada kata-katanya dan mereka adalah dusta.

3. Benar pada azam dan cita-citanya, iaitu azam cita-citanya itu adlah buat dan benar tanpa teragak-agak atau luntur. Jiwanya sentiasa penuh dengan azam untuk melakukan kebaikan.

4. Benar pada amalan : Iaitu berusaha dengan bersungguh0sungguh supaya amalan lahir seseorang itu benar-benar menepati dengan yang tersembunyi dalam dirinya. Seorang yang sembahyang kerana Allah pada lahirnya hendaklah juga pada bantinnya kerana Allah. Amalan-amalan yang menepati lahir dengan batin adalah amalan suci yang melambangkan ketulusan keribadah kepada Allah. Bukannya secara menipu diri dengan berlaku benar pada lahir sahaja tetapi pada batinnya tidak.

Jadi, benar pada awal itu adalah kelurusan antara batin yang tersembunyi dengan lahir yang nyata, atau tegasnya batin itu sama dengan lahirnya atau lebih baik dari lahirnya

Kesetiaan Juga Termasuk dalam Sifat Benar

Antara jenis sifat Siddiq ialah menunaikan janji, sama ada dengan Allah atau dengan manusia. Firman Allah s.w.t.:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

“Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.  - Al-Maidah : 1 - .

Menunaikan janji adalah dari sifat yang amat terpuji, yang menyebabkan seseorang itu dipercayai dan boleh membawa kepada kejayaan dan kemenangan. Dia dianggp sebagai salah satu sifat yang dibanggakan oleh orang-orang yang bertamadun, dianggapnya sebagai salah satu dari sebab ketinggian dan kemajuan dalam masyarakat. Islam telah mewajibkan dan menjadikannya fardu. Sesiapan yang membuat janji dan kemudian tidak menunaikan janjinya tanpa ada keuzuran maka ia adalah berdosa, dan ia menyebabkan ia mempenyai ciri-ciri sifat munafik.

Sekiranya seseorang itu telah bulat tekad dan azamnya untuk menunaikan janji, kemudian berlaku sebab-sebab yang menghalang dari melaksanakan janjinya maka tidaklah berdosa, seperti yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w.:

Lawan Sifat Benar ialah Dusta.
Dusta bermaksud : “Pernyataan sesuatu hal yang tidak sesuai dengan keadaannya yang sesungguhnya, ianya tidak sahaja berlaku pada perkataan, tetapi juga pada perbuatan.  - Drs. Humaidi Tatapangarsa, 1980:157 -

Aristotles ketika ditanya tentang bahaya dusta, ia menyatakan, “Masyarakat tidak akan percaya terhadap perkataanmu sewaktu kamu berkata benar”. Padahal setiap orang di dunia ini sangat memerlukan kepercayaan masyarakat terhadap dirinya.

Islam sangat mengkeji sifat dusta, dan menjadikannya salah satu dari sifat orang kafir.seterusnya mengancamnya dengan balasan azab seksaan yang amat pedih. Firman Allah s.w.t:

إِنَّمَا يَفْتَرِي الْكَذِبَ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْكَاذِبُونَ - 105 -

“Sebenarnya yang tergamak berdusta itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, dan mereka itu ialah orang-orang yang bertabiat berdusta”.  - An-Nahl: 105 - .

Mungkin ada sesetengah manusia yang memperkecilkan kemulian sifat Sidiiq dan merasakan kesdapan pula dengan sifat bohong akan dusta kerana untuk mengajak orang ramai suka dan ketawa. Tetapi Islam mengah perbuatan ini kerana menjaga dan mengawal kerosakan dan menyekat supaya bohong itu tidak menjadi kebiasaan sekali dalam keadaan yang tidak membahayakan orang lain, dirinya, nyawanya atau maruahnya kerana Rasulullah s.a.w. telah bersanda:

Di antara sifat dusta yang paling keji ialah dusta yang dilakukan pemimpin yang tidak menilai tanggungjawabnya. Sabda Rasulullah s.a.w:

Demikian juga adalah dianggap dusta manakala menjajikan sesuatu pada kanak-kanak kemudian tidak ditunaikan. Begitu juga apabila seorang itu melahirkan bagi dirinya dengan suatu sifat, sedangkan dirinya kosong dari sifat tersebut.

Termasuk juga dalam senarai sifat dusta besar ialah orang yang menyangka mimpi yang benar sedangkan sebenarnya tidak.

Keharusan Berdusta.
Walaupun Islam telah mengharaamkan perbuatan dusta atau bohong dan menjadikannya satu daripada dosa yang paling hina dan dikeji, namun Islam telah mengecualikan dari itu dalam beberapa keadaan, iaitu untuk kepentingan atau maslahah umum, seperti dusta pada masa peperangan dengan musuh, atau untuk mendamaikan antara dua yang bersengketa, samaada antara orang perseorangan atau antara dua kumpulan atau anatara dua kaum atau bangsa dan negara.  - Dr. Haron Din. 1988:180 -

AMANAH

Sifat kedua yang harus ada pada Rasulullah s.a.w. dan para Rasul ialah amanah. Amanah ialah satu sifat yang mulia dipunyai oleh setiap orang dalam menghadapi perjuangan hidup demi untuk mencapai matlamat yang diharapkan dan mencapai cita-cita yang diazamkan. Suatu masyarakat itu tidak akan dapat dibina dengan harmoni melainkan hanya di atas asas-asas yang kukuh dan tetap, antaranya asas amanah. Dengan jelas kita dapat menyaksikan perbezaan antara dua jenis manusia pertama yang amanah atau al – Amin dan kedua yang khianat atau al-Kha’in. orang yang amanah akan menjadi temapat kepercayaan dan penghormatan orang ramai, sebaliknya orang khianat itu pula menjadi tumpuan kemarahan dan kehinaan.

Semua masyarakat menyedari tentang natijah daripada sifat dan akhlak ini dalam kehidupan mereka. Tanpa sifat ini negara dan bangsa akan runtuh, lemah dan berlaku pelbagai penyakit-penyakit kerosakan, penyelewengan yang akan membawa kepada kerosakan umat. Amanah adalah asas kepada ketahanan umat, asas kepada kehormatan dan kekuatan di samping menjadi jasad dan roh keadilan.

Seruan Islam Kepada Sifat Amanah
Sesungguhnya Allah menyuruh kita supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya  - yang berhak menerima - . Allah telah berfirman:

فَلْيُؤَدِّ الَّذِي اؤْتُمِنَ أَمَانَتَهُ وَلْيَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ

“Maka hendaklah orang  - yang berhutang -  yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya”.  - Al-Baqarah : 283 - .

Sifat amanah juga merupakan salah satu unsur kesempurnann peribadi. Dari ‘Ubadah bin al Samit meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Berikanlah padaku 6 jaminan dari diri kamu, aku menjamin syurga untuk kamu:

Pertama : Berlaku benar manakala kamu berbicara.
Kedua : Tepatilah manakala kamu berjanji.
Ketiga : Tunaikanlah manakala kamu diamanahkan.
Keempat : Pejamkanlah mata kamu  - dari yang ditegah -
Kelima : Peliharalah faraj kamu.
Keenam : Tahanlah tangan kamu.  - Riwayat Imam Ahmad, Ibn Habban, al-Hakim dan al-Baihaqi -

Dari Abdullah bin ‘Amir r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda : “Empat sifat, sesiapa yang ada padanya benar-benar munafik. Dan sesiapa yang ada satu daripadanya adalah mempunyai sebahagian dari sifat munafik sehinggalah meninggalkannya : Bila diamanahkan khianat, bila bercakap dusta, bila berjanji mungkir, bila berhakim  - dalam perbicaraan -  durjana.   - Riwayat al-Bukhari dan Muslim -

Orang yang khianat akan diisytiharkan di hadapan semua makhluk pada Hari Pembalasan kelak, seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya : “Setelah Allah mengumpulkan semua makhluk dari awal hingga akhirnya akan dikibarkan bendera hati setiap pengkhianat, lalu dikatakan : Inilah pengkhianat sipolan bin sipolan.”   - Riwayat Muslim dan lain-lain -

Memandangkan betapa besar dosa khianat, Rasulullah s.a.w. sentiasa berlindung dangan Allah dari sifat khianat dengan doanya yang bermaksud : “Ya Allah aku berlindung denganMu dari kelaparan, kerana sesungguhnya ia sejahat-jahat teman. Dan aku berlindung denganMu dari khianat kerana ianya sejahat-jahat kawan.”

Ruang lingkup sifat amanah.
Amanah adalah setiap yang wajib dipelihara dan ditunaikan kepada ahlinya. Pengertian ini memungkinan keluasan skopnya yang meliputi semua hubungan. Mematuhi Iman dan menghayati dengan segala yang diperlukan supaya semakin subur dan tetap subur adalah amanah. Membuat Ihsan kepada orang perseorangan atau masyarakat adalah amanah dan memberikan hak kepada yang berhak juga adalah amanah. Hal ini telah dijelaskan dalam ayat-ayat al Quran seperti Surah al Ahzab : 72, Surah al Nisa : 58, Surah Al Anfal : 27.

Amanah dalam pemerintahan adalah penyerahan mandat rakyat kepada yang amanah yang ahli dan ikhlas. Harta negara adalah amanah ditangan pemerintah. Maka menjadi kewajipan ke atasnya meletakkan harta itu pada tempatnya, membelanjakannya pada yang memberi manfaat kepada rakyat serta memberi kemakmuran dan kebahagiaan mereka.

Menyimpan rahsia juga termasuk dalam kategori amanah, kerana memelihara hak sahabat dan kenalan. Kita dilarang daripada membuka rahsia orang lain yang boleh memudharatkan.

Melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pelajar dengan bersungguh-sungguh juga merupakan amanah yang sepatutnya dilaksanakan oleh setiap pelajar.

Oleh itu dapat disimpulkan bahawa amanah adalah tanggungjawab. Memikul kepada amanah bererti melaksanakaan apa yang dibebankan Allah kepada hambaNya.

TABLIGH

Tabligh atau sifat menyampaikan adalah salah satu sifat dan tugas yang diamanahkan kepada Rasulullah s.a.w. Hal ini telah dinyatakan dalam Firman Allah:

يَاأَيُّهَا الرَّسُولُ بَلِّغْ مَا أُنزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ وَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَمَا بَلَّغْتَ رِسَالَتَهُ وَاللَّهُ يَعْصِمُكَ مِنْ النَّاسِ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ - 67 -

“Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya  - dengan menyampaikan semuanya - , maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya”.  - Al-Maidah : 67 - .

Selain daripada tugas para Rasul, umat Islam juga dituntut untuk melaksanakan tugas tersebut. Ini bersesuaian dengan hadith Rasulullah s.a.w:

" بلغوا عني ولو آ ية "

Maksudnya : “Sampaikanlah dariku  - ajaranku -  walaupun satu ayat”.

Tujuan menyampaikan  - tabligh -  yang dilakukan para Rasul tidak seperti tugas tabligh yang dilakukan oleh orang lain yang bukan Rasul, kerana tugas tabligh para Rasul merupakan bukti kebenaran mereka sebagai utusan dari Allah. Mereka tidak mempedulikan keselamatan diri dalam menyempurnkan tugas yang mulia ini. Usaha menyampaikan risalah Allah dilaksanakan kepada seluruh manusia tanpa mengira darjat keturunan. Oleh itu para Rasul telah mengadakan ubahsuai dalam metod dakwahnya mengikut keadaan pemikiran orang-orang yang dihadapinya. Di samping itu, mereka juga telah berhadapan dengan bermacam-macam tentangan dan halangan dari ragam-ragam manusia yang terdiri dari musuh-musuh dan orang di sekitarnya. Keadaan ini memerlukan seorang Rasul harus memiliki kelebihan dan kekuatan dalam segala hal. Keteguhan Baginda menyampaikan kebenaran tanpa mengenal penat dan jemu menjadi tuntutan jiwanya agar dapat mengembangkan kewajipannya secara sempurna. Begitu juga kesabaran serta segala tindakan Baginda yang semata-mata mengharapkan keredhaan Allah merupakan bukti kebenaran dan keihklasan demi dakwah dan demi risalah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah s.w.t. kepadanya.

Kaedah tabligh yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w:

1. Mengumpulkan orang ramai dan berdakwah kepada mereka.

Ketika Allah s.w.t. menurunkan ayat:

وَأَنذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ - 214 -

“Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat”.   - As-Syu’ara’: 214 - .

Baginda telah pergi ke Saafa’ dan mengumpulkan orang ramai dan baginda bersabda : “Wahai BANI  Abdul Mutalib, wahai Bani Fahr, wahai Bani Ka’ab! Bagaimanakah pendapatmu bila aku memberitahu bahawa ada kuda di sebalik bukit ini yang hendak menyerangmu, apakah engkau mempercayainya?”
“Ya, kami percaya.” Jawab mereka.
“Aku memberi khabar ancaman berupa seksa yang pedih.” sabda Rasulullah s.a.w.
“Celakalah kamu. Untuk inikah kamu menyeru kami?” kata Abu Lahab, yang akhirnya Allah menurunkan Surah Al Lahab yang mencerca perbuatan Abu Lahab tersebut.

2. Menghadiri tempat-tempat perjumpaan orang ramai.
Baginda tidak melepaskan peluang untuk meyampaikan risalah Allah tanpa mengira tempat. Ini termasuklah pasar-pasar dan rumah-rumah. Suatu ketika di pasar Dzil-Majaz. Baginda masuk dan bersabda : “Wahai semua orang, katakanlah.
Nescaya kamu semua akan berjaya.”

3. Keluar untuk bertabligh.
Setelah Abu Talib meninggal, Rasulullah s.a.w. pergi ke Thaif dengan berjalan kaki, untuk menyeru penduduknya kepada agama Islam. Namun mereka tidak menerimanya bahkan baginda telah dilontar dengan batu.

4. Meletakkan tanggungjawab ke atas setiap muslim untuk berdakwah.

5. Mengutuskan para sahabat untuk keluar berdakwah.
 Setelah orang-orang Ansar mendengar ucapan Rasulullah s.a.w. mereka meyakininya. Jiwa mereka mantap untuk mempercayainya dan beriman kepada baginda. Mereka mengirim surat kepada Rasulullah meminta agar diutus seorang yang menyeru manusia kepada al Quran. Oleh itu baginda telah mengutuskan Mus’ab bin Umair r.a. Ia menyampaikan apa yang terdapat dalam al Quran dan hasilnya hampir semua penghuni rumah di Madinah memeluk agama Islam. Pemimpin mereka juga turut memeluk Islam. Semua patung yang dijadikan sembahan sebelumnya telah dimusnahkan.

6. Mengirim wakil dan surat kepada raja dan amir-amir untuk mengajak kepada Islam.

Ini termasuklah surat Rasulullah s.a.w. kepada maharaja An-Najasyi, Herakles dan kepada Kisra, pemimpin Parsi.  - lihat lampiran - .

BUKTI KEBENARAN TUGAS TABLIGH RASULULLAH S.A.W.
1. Sikap orang kafir yang menghalang tugas tabligh.
Orang-orang kafir telah berusaha sedaya upaya untuk membendung Dakwah Rasulullah. Lantaran itu baginda telah menghadapi rintangan dan halangan. Ini termasuklah:
a -  Orang-orang Quraisy melemparkan debu-debu kepada baginda sewaktu meyampaikan risalah Allah.
b -  Leher baginda telah dicekik dengan kain sewaktu baginda sedang solat.
c -  Tahi unta dilemparkan ke tengkuk sewaktu baginda sedang sujud.
d -  Penyiksaan ketika dalam perjalanan ke Thaif, sehingga berdarah kakinya.
Perlakuan orang kafir ini benar-benar di luar batas-batas kemanusiaan. Mereka menyiksa baginda kerana dakwah yang disampaikannya.

2. Tekanan-tekanan yang dilakukan oleh orang-orang Quraisy.
a -  Tindakan orang Quraisy meminta Abu Talib memujuk Rasulullah agar meninggalkan usaha dakwahnya.
b -  Pemulauan terhadap orang-orang Islam.
Selama tiga tahun berturut-turut kaum muslimin dan kerabat Rasulullah s.a.w. telah diboikot. Dalam tempoh tersebut tidak ada jual beli, tidak boleh mengahwini, tidak boleh dikahwini, tidak ada makanan dan minuman. Namun demikian keimanan yang teguh tidak sedikit pun menggugat keimanan mereka.
c -  Usaha untuk membunuh Rasulullah s.a.w.

3. Orang Quraisy meminta Abu Talib menyerah Muhammad s.a.w. untuk dibunuh.
4. Keazaman Umar untuk membunuh Muhammad s.a.w.

5. Pengepungan di sekeliling rumah Rasulullah s.a.w. untuk membunuhnya.

Contoh di atas adalah sebahagian rancangan dan halangan daripada orang Quraisy dan musuh Islam. Walaupun ancaman itu dilakukan secara berterusan tetapi baginda tidak pernah berniat untuk memberhentikan dakwah dan tablighnya. Baginda meneruskan tabligh, meskipun tentangan datang bertubi-tubi dengan keadaan sama sekali tidak selesa yang mungkin saja orang biasa akan menjadi putus asa dan berhenti di tengah jalan. Tetapi sedetik pun hal ini tidak terjadi pada diri baginda. Kalau seandainya baginda bukan utusan Allah yang harus melakukan perintah-perintahNya secara selaras, rasanya tidak mungkin baginda kuat meneruskan dakwahnya dan menghadapi semua tentangan itu.

Selama tiga belas tahun sesudah kenabian Rasulullah s.a.w. tidak pernah diam. Tidak mahu kehilangan waktu walaupun sedetik pun dalam usaha menyampaikan risalah Allah, dengan secara menghubungi orang perseorangan mahupun berkumpulan, ketika berpergian, ketika di rumah, ketika bersama-sama pengikutnya, ketika berdialog, berkhutbah dan akhirnya berkembang luas seluruh umatnya. Mereka juga dibebani tugas untuk bertabligh. Sehingga tidak seorang pun manusia yang belum mendapat khabar seruannya.
Kesan Sifat Tabligh Rasulullah s.a.w.

1. Sebelum Rasulullah s.a.w wafat, seluruh Jazirah Arab menerima dan mengabulkan seruan Allah. Bahkan negei-negeri yang terkenal pada waktu itu yang ada di sekitar Jazirah Arab juga menerima dakwah Islam. Dan selagi zaman Khulafa al-Rasyidin belum berlalu, seluruh dunia yang sudah mempunyai nama pada saat itu telah mendapat dakwah Islam.

2. Sejarah dunia belum pun pernah menceritakan bahawa ada seorang yang menyebarkan dakwah dan seruannya tanpa bantuan orang lain, selain Rasulullah s.a.w. Sebelum wafatnya Rasulullah s.a.w., beribu-ribu pengikutnya tetap menjaga keutuhan kitab yang menjadi acuan syariatnya, perkataannya dan ajaran-ajarannya yang banyak jumlah dan besar nilainya. Juga teks-teks ajaran yang tetap seperti aslinya dari generasi ke generasi. Memang semua itu merupakan perintah yang harus diikuti dan akan diperhitungkan nanti di hadapan Allah jika kita tidak melaksanakannya.

3. Hampir tidak seorangpun yang belum pernah mendapat peringatan dan dakwah Rasulullah Saw. Dan kita dapat lihat sendiri berapa banyak da’I yang mengikuti cara baginda banyak tersebar di seluruh dunia. Baginda telah melaksanakan kewajipan bertabligh dengan bersungguh-sungguh. Dengan menyemak setiap peristiwa awal perkembangan Islam ini rasanya tidak mungkin dapat terjadi kalau seandainya Muhammad Saw bukan seorang Rasul yang benar dalam menyebarkan risalah dari Allah.

FATHANAH

Sifat keempat bagi Rasulullah s.a.w. ialah fathanah  - cerdas, pandai - . Sifat ini adalah satu sifat yang penting untuk menyempurnakan sifat tabligh. Seorang Rasul yang terlibat secara langsung dalam bidang dakwah antara lain akan selalu terlibat dalam perbincangan dengan musuh, menghadapi pertanyaan para pengikut, serangan serta kritikan orang-orang yang masih meragukan. Untuk mengahadapi perkara-perkara tersebut, Rasul harus memiliki kecerdasan dan kemampuan untuk menjelaskan dan menghadapi orang-orang yang dihadapi supaya mereka tidak lagi menjelaskan alasan untuk menolaknya. Sekiranya para rasul tidak mempunyai pendirian yang kuat serta kematangan yang padu, sudah tentu mereka tidak dapat mengusai orang lain. Hali ini bersesuaian dengan firman Allah:

رُسُلًا مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ لِأَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَى اللَّهِ حُجَّةٌ بَعْدَ الرُّسُلِ وَكَانَ اللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًا - 165 -

“Rasul-rasul  - yang Kami telah utuskan itu semuanya -  pembawa khabar gembira  - kepada orang-orang yang beriman - , dan pembawa amaran  - kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat - , supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah  - atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak -  terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan  - ingatlah -  Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.  - An-Nisa’:165 -

Kadar pengetahuan dan keutamaan manusia adalah berbeza-beza. Begitu juga kecerdasan dan kekuatan hujjah masing-masing juga adalah berbeza-beza. Oleh itu untuk menghadapi persoalan tersebut, sudah tentu memerlukan orang yang cergas dan pintar, yang mempunyai kefasihan berbicara.

Sifat fatanah juga merupakan salah satu mukjizat kebenaran seorang Rasul. Perkara ini penting dan sebagai sanjata untuk melemahkan musuh. Di sudut kefasihan, Rasulullah s.a.w. adalah orang yang paling fasih di bumi Arab, bahasa dan pengucapannya adalah yang paling jelas. Semasa mengemukakan hujjjah, tidak ada orang yang mampu memberi hujjah seperti mana yang dilakukan oleh baginda. Tambahan pula hujah baginda mencakupi segala aspek berdasarkan agama, baik dalam bidang akidah, ibadat, tingkah laku, cara hidup yang dikuatkan dengan taufik Allah dan ketentuanNya.

Ucapan yang pendek tetapi maksudnya mendalam
Dari Abu Hurairah r.a, “Rasulullah s.a.w. bersabda ; “Allah akan berfirman panda hari kiamat nanti ;
“Wahai anak Adam, Aku sakit, lalu mengapa kamu tidak menjenguk Ku.”
“Wahai Tuhanku, bagaimana aku dapat menjengukMu, padahal Engkau Tuhan sekelian alam?.”
“Bukankah kamu tahu bahawa kalau kamu menjenguknya akan mendapatkan Aku disisinya?.
Wahai anak Adam. Aku telah memberimu makan, tapi mengapa kamu tidak memberiKu makan?”
“Wahai Tuhanku, bagaimana aku mampu memberiMu makan, padahal Engkau adalah Tuhan sekelian alam?”
“Sesungguhnya hambaKu, meminta makan kepadamu, tapi kamu tidak memberinya. Bukankah kamu tahu kalau kamu memberinya makan akan mendapatkannya di sisi Ku?”
“Wahai anak Adam, Aku telah memberimu minum, tapi kau tidak memberi Ku minum.”
“Wahai Tuhanku, bagaimana aku memberiMu minum, padahal Engkau Tuhan sekelian alam.?”
“Sesungguhnya hambaKu meminta minum kepadamu, tapi kamu tidak memberinya minum. Bukankah kamu tahu bila kamu memberinya minum kan mendapatkannya di sisiKu?”
Rahsia fasahah Rasulullah kerana baginda mampu mengucapkan kata-kata yang singkat namun dapat mencakupi segala permasalahan. Setiap manusia dapat menyesuaikan dengan kadar kecerdasan, pemahaman dan pengetahuan yang dimilikinya.

PENUTUP

Segala sifat-sifat asas bagi Rasul menunjukkan bahawa baginda benar-benar seorang Rasul Allah. Baginda diciptakan dengan keadaan yang paling sempurna, peling tinggi kedudukannya dan paling agung perbuatannya sehingga mampu menghadapi semua orang. Rasulullah dalam apa keadaan menjadi contoh tertinggi dan suri teladan yang terbaik bagi manusia.

TUNTUTAN MENGHAYATI SUNNAH RASULULLAH S.A.W.

1. Pendahuluan.

Sunnah dari segi bahasanya ialah cara, peraturan, tata-tata kelakuan, cara hidup atau kebiasaan.  - I. Doi, 1995:62 - . Di sisi fuqaha’ pula sunnah ialah sesuatu yang bukan wajib dalam ibadah. Manakala dari segi istilah ahli Usul al-Fiqh sunnah ialah setiap perkara yang terbit daripada Rasululah s.a.w. berupa dalil-dalil syariah yang bukan al Quran dan bukan mu’jizat. Dalam ungkapan yang lain sunnah diistilahkan sebagai perkataan, perbuatan dan pengakuan Rasulullah s.a.w.  - Zuhayli, 1986:450 - .
i. Sunnah perkataan atau sunnah qawliyah ialah sabda Rasulullah s.a.w. yang di sampaikan dalam pelbagai tujuan dan kejadian. Misalnya sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : Tidak ada kemudharatan dan tidak pula memudharatkan  - Riwayat Malik - . Ini adalah suatu pesanan Rasulullah kepada manusia supaya tidak melakukan perbuatan yang boleh membahayakan dirinya sendiri dan orang lain. Demikian juga dengan sabda Rasulullah yang bermaksud: Ia suci airnya lagi halal bangkainya.  - rawahu al-khansah - . Sunnah qawliyah ini menjelaskan tentang kesucian air laut serta halalnya ikan-ikan yang mati di dalamnya walaupun tanpa disembelih.

ii. Sunnah fi’liyah ialah segala perbuatan yang berupa tindakan Rasulullah s.a.w. sebagai rasul. Misalnya perbuatan Rasulullah mengerjakan cara-cara, syarat-syarat dan rukun-rukunnya, melakukan ibadah haji, memutuskan sesuatu kes berdasarkan saksi dan pengakuan.

iii. Sunnah taqririyah pula ialah perkataan atau perbuatan sahabat yang dipersutujui oleh Rasulullah melalui perkataannya atau dengan cara Rasulullah mendiamkan diri terhadap sesuatu tindakan atau perbuatan sahabatnya. Persetujuan baginda terhadap perbuatan sahabat itu dinggap sebagai perbuatan yang dilakukan olehnya sendiri. Contoh tindakan Rasulullah mempersetujui pendapat atau kenyataan lisan seorang sahabat iaitu Mu’az bin Jabal semasa baginda Rasulullah mengutusnya ke negeri Yaman untuk mengetuai umat Islam di sana. Sebelum Mu’az berangkat ke Yaman Rasulullah terlebih dahulu bertanya kepada Mu’az “dengan apakah kamu akan memutuskan masalah umat Islam di Yaman” Mu’az menjawab “dengan Al Quran.” Rasulullah mengiakan pandangan Mu’az kemudian Rasulullah bertanya lagi “bagaimana jika kamu tidak menemuinya dalam Al-Quran” Mu’az menjawab “saya akan melakukannya dengan berpandukan kepada apa yang pernah dilakukan oleh Rasulullah”. Rasulullah membenarkan kata-kata Mu’az itu. Rasulullah bertanya lagi bagaimana jika kamu tidak temui penyelesaian dalam Al-Quran dan Hadith”.Mu’az menjawab “saya akan banding-banding perkara berkenaan dengan apa yang telah ada hukumnya dan menyamakan hukumnya jika didapati keduanya mempunyai persamaan”.Rasulullah mengiakan pandangan Mu’az itu. Contoh lain ialah sikap Rasulullah yang memperkenankan hukum seorang “qaif”  - pakar -  bahawa tapak kaki Usamah daripada tapak kaki Zaid dengan sabdanya: Inna hadhihi al-aqdam ba’duha min ba’d. Rasulullah memperakui bahawa kepakaran boleh dijadikan Hujjah dalam mensabitkan nasab. Ini adalah dua contoh sunnah taqririyyah yang berlaku dengan pengakuan Rasulullah secara lisan. Manakala contoh sunnah taqririyyah yang mana Rasulullah mendiamkan diri tanpa sebarang teguran kepada tindakan sahabatnya ialah dalam kes Khalid bin Al-Walid yang menghidangkan biawak pasir untuk makanan para tetamunya termasuk Rasulullah. Sahabat-sahabat Rasulullah memakannya tetapi Rasulullah sendiri tidak. Namun baginda hanya mendiamkan diri tanpa melarang mereka memakannya.

2. Sebab-sebab Sunnah perlu diikuti.

Oleh kerana Rasulullah adalah manusia contoh dalam melaksanakan segala kehendak syari’at yang diturunkan oleh Allah. Dalam syari’at itu Allah menghendaki manusia supaya menerima apa yang dibawanya dan mengikut apa yang ditunjukkan olehnya. Kerana itu selain al-Quran, sunnah Rasul juga pelu diambil untuk kesempurnaan penghayatan syari’at Allah itu. Ulama’ sepakat bahawa sunnah adalah sumber pengambilan hukum syara’ berasaskan dalil daripada al Quran, sunnah , ijma’ sahabah dan lojik akal:

i. Dalam al-Quran Allah telah memfardhukan ke atas orang-orang yang beriman supaya ta’at kepada nabi dan mengikut jejak langkahnya. Ta’at kepada Rasulullah adalah dikira sebagai ta’at kepada Allah  - al-Nisa’ - 4 - :80 -  Al-Quran juga menyuruh orang-orang Islam supaya menyelesaikan pertikaian mereka dengan merujuk kepada Allah dan Rasul-nya  - al-Nisa’ - 4 - : 59 -  tidak membenarkan orang beriman membuat pilihan terhadap sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-nya  -  al-Ahzab - 33 - :35 - .

ii. Dalam hadith Rasulullah juga terdapat banyak pesanan supaya orang Islam berpegang dengan sunnah. Antaranya sabda Rasulullah yang bermaksud: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dimana jika kamu berpegang kepada keduanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitulah kitab Allah dan sunnah nabi Nya -  Malik, t,th:502 -  juga sabda Rasulullah yang bermaksud: hendaklah kamu berpegang teguh kepada sunnahku dan sunnah khulafa’ al-Rashidin . Gigitlah sunnah dengan taring, jauhilah daripada mengadakan sesuatu, sebab perkara yang diada-adakan itu adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah sesat dan setiap yang sesat dalam neraka  - masuk neraka - .  - Rw. Ahmad dll - .

iii. Ijma’ sahabah. Sahabat-sahabat Rasulullah sepakat baik semasa hidup atau selepas wafatnya Rasulullah tentang kewajipan mengikut sunnah. Sepanjang masa hayat Rasulullah, mereka berpegang kepada hukum-hukum yang ditetapkan oleh Rasulullah dan mereka sentiasa mematuhi segala perintah dan larangannya. Mereka memisahkan antara hukum daripada al Quran dan hukum yang diperolehi daripada hadith dari segi kewajipan mengikutnya dengan mendahulukan al Quran dalam mencari penyelesaian hukum sebagaimana yang dicontohkan oleh Mu’az bin Jabal.

iv. Lojik akal. Allah menyuruh Rasulullah SAW menyampaikan risalahNya kepada umat manusia. Risalah dari Allah itu terkandung dalam al Quran. Ia mengandungi beberapa bebanan dan tanggungjawab kepada manusia. Bebanan dan tangungjawab itu berbentuk umum tidak terperinci dengan jelas, baik mengenai cara melaksanakannya ataupun mengenai syarat-syarat dalam melaksanakannya. Misalnya dalam memerintahkan manusia melakukan sembahyang, puasa, zakat dan haji, al Quran tidak menerangkan bagaimana cara melaksanakannya. Rasulullah menjelaskan keumuman itu dengan sunnah qawliyah danfi’liyahnya. Rasulullah telah dianugerah oleh Allah kewibawaan untuk menjelaskan kehendak al Quran. Firman Allah bermaksud: kami telah menurunkan kepadamu al Quran agar kamu menjelaskan kepada manusia apa yang diturunkan kepadamu al Quran agar kamu menjelaskan kepada manusia apa yang diturunkan kepada mereka.  - al Nahl - 16 - :44 - .

Sekiranya sunnah bukan merupakan hujjah bagi kaum muslimin dan undang-undang yang perlu dipatuhi, sudah tentu mereka tidak akan dapat melaksanakan kewajipan yang diperintahkan oleh Allah dalam al Quran. Kerana itu nyatalah bahawa sunnah adalah sumber hukum yang mesti digunakan pakai selepas al Quran.

3. Perbuatan-perbuatan Rasulullah Yang Wajib dan Tidak Wajib Diikuti.

Mengenai apakah sesuatu perbuatan Rasulullah itu wajib diikuti oleh orang Islam atau tidak ianya adalah tertakluk kepada jenis perbuatan Rasulullah itu sendiri. Perbuatan Rasulullah dan dipecahkan kepada tiga jenis:

i. Perbuatan yang berupa kebiasaan yang dilakukan oleh Rasulullah sebagai seorang manusia seperti berdiri, duduk, makan, minum, berbaring, memilih warna pakaian dan sebagainya. Sumber perbuatan ini bukan dari beliau sebagai rasul. Perlakuan jenis ini tidak ada pertikaian di kalangan ahli ilmu tentang keharusannya kepada Rasulullah dan kepada umatnya. Kita tidak wajib mencontohi perbuatan ini. Ini adalah pendapat majoriti ulama’. Namun ada juga berpendapat perbuatan seperti itu sunat diikuti. Antara sahabat Rasulullah yang suka mengikut setiap perbuatannya ialah Abdullah bin Umar. Beliau sering mengikut apa sahaja perbuatan Rasulullah sekalipun perbuatan itu adat kebiasaan.

ii. Perbuatan yang keluar daripada Rasulullah semata-mata sebagai suatu kebijaksanaan dalam masalah keduniaan. Misalnya tindakan Rasulullah ketika mengadapi Perang Badar di mana baginda menempatkan tentera Islam di kawasan terdekat dengan perairan Badar. Al Habab bin Muzir selaku pakar ketenteraan bertanya kepada Rasulullah, “Apakah tempat penempatan tentera itu suatu yang sudah ditunjukkan oleh Allah sehingga tidak boleh kehadapan atau kebelakang selangkah pun?. Atau apakah ianya sebagai pemilihan strategi dan teknik.” Jawab Rasulullah: Ianya adalah strategi dan taktik semata-mata. Mendengar jawapan Rasulullah sedemikian. Al Habab mencadangkan kepada Rasulullah supaya memindahkan penempatan tentera ke kawasan yang lebih sesuai. Oleh kerana penempatan itu suatu ijtihad Rasulullah sendiri sahaja, dimana baginda kurang arif tentang kawasan itu jika dibandingkan dengan al Habab yang telah benar-benar memahami liku-liku kawasan berkenaan. Cadangan al Habab itu diterima oleh Rasulullah dan dipindahkanlah pasukan tentera Islam ke tempat yang dicadangkan oleh al Habab itu.  - Mukhtar Yahya dan Fatchur Rahman, 1996:57-58 -

iii. Perbuatan Rasulullah itu thabit dan khusus untuk dirinya sendiri seperti keharusan berpuasa wisal, kewajipan sembahyang duha, qurban, witir, tahajud, keharusan nikah lebih dari empat orang dan keharusan mengahwini wanita tanpa mahar. Perkara-perkara ini hanya khusus untuk Rasul Allah dan tidak boleh diikuti untuk umatnya.  - Zuhayli: 478 -

iv. Perbuatan yang dilakukan oleh Rasulullah kerana disyariatkan sedemikian. Perbuatan-perbuatan itu wajib dicontohi atau diikuti Cuma sifat syariat yang ada pada perbuatan itu berbeza-beza dari segi wajib, sunat atau harus. Penentuan sifat-sifat ini dapat dikenal pasti melalui kriteria berikut  - Ibid. hal.479-480 -

a. Jika perbuatan Rasulullah itu bertujuan menjelaskan yang mujmal, mentaqyidkan yang mutlaq atau mentakhsiskan yang umum, maka hukumnya adalah sama seperti perkara yang dijelaskan itu dari segi wajib atau sunat. Penjelasan Rasulullah itu ada kalanya dilakukan dengan disertakan dengan perkataan sekali seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sembahyanglah kamu sebagai mana kamu lihat aku bersembahyang dan ambillah daripada aku haji kamu”. Adakalanya perbuatan Rasulullah tidak disertakan dengan hadith qawliyah seperti memotong tangan pencuri dipergelangan tangan sebagai penjelasan kepada ayat al Quran yang menghendaki tangan pencuri dipotong. Demikian juga dengan tayamum yang dilakukan oleh Rasulullah sehingga ke siku sebagai penjelasan kepada firman Allah yang bermaksud: “Maka sapulah muka dan tangan kamu”.  - Al Maidah  - 5  - : 6 - . Dalam perkara ini perbuatan Rasulullah yang berfungsi sebagai penjelasan kepada ayat-ayat al Quran itu hukumnya adalah sama seperti hukum yang dibawa oleh ayat al Quran itu sendiri. Jika ayat al Quran itu membawa perintah yang wajib maka penjelasan Rasulullah itu wajib diikuti.

b. Jika tidak nyata kedudukan perbuatan Rasulullah itu sebagai penjelasan kepada mana-mana ayat al Quran, sebaliknya ia berlaku dalam bentuk ibtida’  - permulaan - . Perkara ini tertakluk kepada sama ada diketahui atai tidak sifat shar’iyahnya. Jika diketahui sama ada ia wajib, sunat atau harus, maka umat Islam yang ikut melakukan perbuatan itu sama hukumnya seperti perbuatan Rasulullah itu sendiri. Menurut al Shawkani pendapat ini adalah benar kerana ada dalil daripada al Quran dan perbuatan sahabat mengenainya. Firman Allah bermaksud: Apa yang dibawa Rasulullah hendaklah kamu menerimanya dan apa yang dilarang oleh Rasulullah hendaklah kamu hindari. - al Hasr  - 559 - :7 - . Sahabat-sahabat juga merujuk kepada Rasulullah sebagai hujjah dan ikutan dalam banyak kes antaranya perbuatan Umar bin Al Khattab mengucup Hajar al Aswad dan berkata: “Jika tidak kerana aku melihat Rasul Allah mengucup kamu aku tidak akan mnegucup kamu”  - al Syawkani, 5:40 -

Jika tidak diketahui sifat perbuatan Rasulullah itu dari segi kesyari’atannya, maka perlu diperhatikan kepada kedudukan perbuatan berkenaan:  - al Zuhayli: 480 -

a. Jika ternyata perbuatan itu bermaksud taqarrub kepada Allah seperti sembahyang dua raka’at tanpa dilakukan secara muwazabah  - berterusan - , maka menunjukkan ianya adalah sunat kerana dengan ternyatanya maksud taqarrab adalah menjadi dalil kepada bahawa perbuatan itu adalah dituntut.

b. Jika ternyata adanya maksud taqarrub dalam perbuatan itu seperti berjual beli dan muzaraa’ah. Dalam perkara ini al Imam Malik berpendapat ianya adalah harus. Manakala al Shafi’i berpendapat bahawa perbuatan itu menunjukkan kepada sunat, kerana sesuatu perbuatan Rasulullah itu sekalipun tidak nyata adanya maksud taqarrab kepada Allah ia tetap dianggap sebagai taqarrub. Paling rendah darjattaqarrub ialah sunat.

4. Kedudukan Sunnah Di Samping al Quran.

Sumber paling utama bagi agama Islam ialah al Quran dan hadith. Al Quran adalah firman Allah untuk semua orang Islam. Ayat-ayat al Quran diturunkan kepada Rasulullah sebagai mana ayat itu dibaca sekarang. Walaupun al Quran memberi panduan utama kehidupan kepada orang Islam, namun banyak perkara yang memerlukan panduan kearah kehidupan yang praktis, tetapi tidak disebut dalam al Quran. Dalam kes ini apa yang jelas patut diikut ialah sunnah Rasulullah. Ini bererti sunnah amat penting dan berkedudukan pada tempat kedua selepas al Quran sebagai panduan hidup manusia muslim. Ulama’ Usul Fiqh membahagikan peranan sunnah disamping al Quran kepada empat jenis:
i. Menguatkan sesuatu peristiwa yang telah ditetapkan hukumnya oleh al Quran. Dengan demikian hukum peristiwa tersebut ditentukan oleh dua sumber iaitu al Quran sebagai sember menetapkan hukumnya dan al Sunnah sebagai penguatnya. Misalnya sembahyang dan zakat yang telah ditetapkan kefardhuan dalam al Quran dikuatkan lagi oleh Rasulullah dalam sabdanya ketika berdialog dengan malaikat. Bermaksud : Malikat Jibril bertanya: “Hai Muhammad terangkan padaku tentang Islam?” Jawab Muhammad: “Islam itu ialah persaksianmu bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, kamu mendirikan sembahyang,MEMBAYAR  zakat, mengerjakan haji ke Baitullah bila kamu mampu melaksanakan perjalanan ke tempat itu.”  - Hadith riwayat Muslim - . Contoh lain ialah pengharaman menyekutukan Allah, menyakiti hati kedua orang tua dan bersaksi palsu, dimana semua hukum perkara ini telah ditentukan oleh al Quran. Kemudian larangan-larangan itu dikuatkan lagi oleh Rasulullah dalam sabdanya yang bermaksud: “Perhatikanlah ! saya akan menerangkan kepada kamu sebesar-besar dosa” diucapkan tiga kali “baiklah hai Rasulullah” sahut kami semua “Mempersekutukan Allah, mendurhakai kedua ibu bapa” rasulullah pada ketika itu sedang bersandar, lalu duduk dan bersabda: “Ingat, perkataan dan persaksian palsu.” Rasulullah mengulang-ngulanginya sampai kami meminta semoga baginda diam.  - Riwayat Bukhari Muslim -

ii. Memberi penjelasan ke atas ayat-ayat Al Quran. Dalam memberikan penjelasan ke atas ayat-ayat al Quran oleh Hadith ini didapati ada tiga bahagian yang berkaitan dengannya:

a. Memberi penjelasan ke atas ayat-ayat yang mujmal. Misalnya ayat mengenai perintah sembahyang dalam al Quran yang bermaksud: “Maka dirikan solat sesungguhnya sembahyang itu bagi orang mu’min adalah kewajipan yang sudah ditentukan waktunya.”  - al Nisa’ - 4 - :103 - . Ayat ini tidak terperinci, masih mujmal. Kemudian Rasulullah s.a.w. menerangkan waktu-waktu sembahyang, jumlah rakaat, syarat-syaratnya dan rukun-rukunnya dan melakukan perbuatan sembahyang dan seterusnya meminta umat Islam melakukan sembahyang seperti mana yang dilakukan olehnya. Demikian juga dengan zakat dan haji, ayat-ayat al Quran mengenainya juga adalah mujmal. Ia diperincikan oleh hadith dengan menjelaskan cara-cara melakukan ibadah haji.

b. Membatasi kemutlakan al Quran. Misalnya al Quran membolehkan kepada orang yang meninggal dunia membuat wasiat ke atas harta miliknya tanpa ada batasan maksimumnya, dalam firman Allah bermaksud: “Sesudah dipenuhi wasiat yang dibuatnya atau sesudah membayarkan hutangnya.  - al Nisa’ - 4 - :12 - . Di dalam hadithnya Rasulullah membataskan kedar maksima wasiat kepada 1/3 sahaja.

c. Mengkhususkan yang umum. Misalnya Firman Allah berkenaan dengan pengharaman memakan bangkai binatang dan darah dalam ayat al Quran yang bermaksud : Diharamkan bagi kamu memakan bangkai, darah dan daging babi.  - al Maidah  - 5 - :3 - . Kemudian Rasulullah mengkhususkannya dengan memberikan pengecualian kepada bangkai ikan, belalang, hati dan limpa dalam sabdanya yang bermaksud: “Dihalalkan bagi kita dua macam bangkai dan dua macam adarah. Dua bangkai itu ialah bangkai ikan dan belalang. Manakala dua darah itu ialah hati dan limpa.  - Riwayat Ibn Majah dan Hakim -

iii. Sunnah Menjelaskan Tentang Nasikh dan Mansukhnya Ayat-ayat al Quran.

Pemansuhan sesuatu ayat al Quran yang lain dapat diketahui melalui sunnah. Misalnya ayat al Quran berkenaan dengan wasiat kepada dua ibu bapa dan qarabah iaitu dalam firman Allah yang bermaksud : “Di wajibkan ke atas kamu apabila mati tiba kepada salah seorang dari kamu, jika dia meninggalkan harta yang banyak supaya dia berwasiat kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat yang lebih hampir dengan baik sebagai suatu hak ke atas orang yang bertaqwa.”  - al Baqarah  - 2 - :180 -  adalah dimansukhkan dengan ayat-ayat perwarisan.

Imam Shafi’i hanya menerima pemansuhan ayat al Quran oleh ayat al Quran juga, tidak boleh berlaku pemansuhan al Quran oleh hadith. Tetapi majoriti fuqaha’ termasuk al Baydawi dan al Asnawi daripada mazhab Shafi’i memperakui bahawa ada juga berlaku pemansuhan al Quran oleh hadith seperti hadith yang bermaksud : “Tiada wasiat kepada ahli waris.”  - Malik bin Anas:418 - . Hadith ini memansuhkan ayat mengenai wasiat kepada ahli waris.
iv. Mewujudkan hukum baru yang tidak terdapat dalam al Quran. Maka jadilah hukum itu thabit dengan sunnah. Misalnya Rasulullah menetapkan haramnya binatang buas yang bertaring kuat dan burung yang berkuku kuat seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas yang bermaksud: Rasulullah s.a.w. melarang memakan binatang yang bertaring dari golongan binatang buas dan setiap yang berkuku kuat dari kalangan burung  - Hadith riwayat Muslim - . Rasulullah juga mengharamkan lelaki mengahwini wanita yang sepersusuan, kerana ianya sama dengan mengahwini wanita yang sama keturunan  - nasab - . Sabda Rasulullah bermaksud : “Sesungguhnya Allah mengahramkan mengahwini wanita sepersusuan, sebagaimana Allah mengahramkan mengahwini wanita kerana nasab.”  - Riwayat Bkhari dan Muslim - . Misal yang lain seperti hadith yang mengenakan hukuman rejam kepada penzina muhsan dan pengharaman memakai sutera ke atas orang lelaki. Demikian juga dengan zakat fitrah, pengaharaman memakan daging himar ahli dan pembebasan tawanan.

5. Kesimpulan

Rasulullah s.a.w. adalah orang yang dilantik oleh Allah untuk menyampaikan syari’atnya kepada manusia. Syari’at mengkehendaki manusia melakukan perkara-perkara tertentu yang berupa ibadah kepada Allah dan perkara-perkara yang berkaitan dengan kehidupan sesama manusia. Oleh kerana Al Quran yang merupakan kitab di mana termaktubnya syariat berkenaan menyentuh berbagai aspek untuk menjadi panduan manusia. Tetapi kebanyakannya wujud dalam bentuk yang umum tidak terperinci. Disinilah peranan sunnah menjadi perlu untuk memperjelaskan apa yang dikehendaki oleh al Quran kepada manusia. Manusia wajib mengikuti Rasulullah dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan tauhid, ibadah dan akhlak.

Oleh kerana kata-kata, perbuatan serta pengakuan Rasulullah menyeluruh dalam berbagai perkara. Ada yang bersumberkan syari’at dan ada yang bersumberkan kepada kebiasaan atau ‘adat. Rasulullah s.a.w. adalah orang Arab, dalam beberapa hal beliau terikat dengan ‘adat Arab dalam kehidupan hariannya. Maka kerana itu sunnah dapat dibahagikan kepad dua iaitu sunnah syariyyah dan sunnah ‘urfiyah. Sunnah ’urfiyah adalah suatu yang dikehendaki supaya diikuti oleh umat Islam. Dari segi hukumnya sama ada wajib, sunat, haram atau makruh bergantung kepada kehendak tasyri’ itu sendiri. Manakala sunnah‘urfiyah adalah sunnah yang boleh dipilih oleh umat Islam sama ada mahu mengikutnya atau tidak. Dalam pada itu ada juga dikalangan para sahabat yang berterusan mengamalkan sunnah Rasulullah sekalipun sunnah itu bersumberkan ‘adat  - sunnah ‘urfiyah - . Namun mencemuh sunnah ‘urfiyah sama ertinya dengan mencemuh Rasulullah.

Rujukan
1. Abdul Rahman I. Doi, Undang-undang Syariah, terjemahan Rohani Abdul Rahman, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995.
2. Malik bin Anas, Mutwatta al Imam Malik, Riwayat Yahya bin Yahya al Lathi, Dar al Kutub al Ilmiyyah, Beirut, t.th
3. Mukhtar Yahya, Dr. dan Fatchurrahman, Drs, Dasar-dasar hukum Fiqh Islami, P.T al Ma’arif, Bandung, 1986.
4. Shaikh Sofiy al Rahman al Mubarakfuri, al Raheeq al Makhtum Sirah Rasulullah s.a.w., terjemahan Muhammad Darus Sanawi, Kumpulan Dewan Muslim, Shah Alam 2000.
5. Wahbah al Zuhayli, Dr. Usul Fiqh al Islami, juzu’ 1, Dar al Fikir, 1986.

KOLEKSI
************************
Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis, MALAYSIA
Tel: 013-400-6206, 011-1070-4212, 04-988-2701
Email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com